terkadang terpaksa sarkastik kerana hati mereka sukar dijentik

Friday, December 26, 2008

kReatiF LAzy sMArt

bergolak dengan disiplin diri, tiba- tiba terimbas dialog dalam sebuah filem hindustan yang pernah aku tonton dulu- love in nepal. lupa bait- bait detilnya tetapi situasi adegannya lebih kurang begini...pelakon utamanya seorang pengarah kreatif di agensi pengiklanan. mempunyai masalah disiplin. kerap datang lambat dan bekerja ikut peraturan sendiri. tetapi dia sering memberi idea dan menghasilkan karya yang mengkagumkan. seorang pekerja bertanya kepada pembantu pengarah kreatif itu kenapa dia masih tidak datang kerja lagi. pembantunya berkata dia bekerja bahagian kreatif maka, tak perlu ikut masa kerja yang ditetapkan. paparan adegan perbualan yang disampaikan secara komikal itu ringkas namun subteksnya berbaur sinis. seolah menggambarkan pekerja bahagian kreatif tidak berdisiplin.

namun ia sebenarnya berkaitan dengan terminologi lazy achiever. istilah ini merujuk kepada bagaimana meminimumkan waktu bekerja dan memaksimumkan hasil. dalam konteks ini, orang yang bekerja dalam bidang kreatif bekerja dalam waktu singkat dan fleksibel tetapi berkualiti. hampir maknanya dengan istilah tipikal yang sering didengar- work smart. menerusi istilah ini juga menerangkan petugas kreatif tidak terikat kerja di pejabat. mereka boleh melaksanakan kerja di mana- mana lokasi dan pada bila- bila masa.

filem ini juga menyelitkan adegan pengarah kreatif itu berjaga semalaman menyiapkan kerja kreatifnya. ilham tidak datang pada waktu sepatutnya dia berada di pejabat (banyak masa diisi dengan bersantai, berbual dan keluar jamming). keesokannya tentulah dia datang lewat lagi malah hampir terlepas sesi pembentangan kertas kerja kreatifnya.

berbalik kepada perihal dia dicop sebagai pekerja yang tidak berdisiplin, haruskah dia dilabel begitu?

*kenal orang yang kreatif dan berdisiplin. mereka mengkagumkan. tapi tidak ramai

Thursday, December 18, 2008

uWEKKK...Uwekkk

selepas satu kelahiran, 68 tahun kemudian

perbualan seorang cucu dengan datuknya di serambi rumah
cucu : atuk, mak long lahir kat mana?
atuk : kat rumah
cucu : pak ngah?
atuk : kat hospital
cucu : mama ai pulak?
atuk : mama ai lahir dalam kereta
cucu : betul ke? atuk tipulah hik hik hik
atuk : betulll...tak caya pergi tanya nenek
cucu : nenek...hmm nenek pulak lahir kat mana?
atuk : kat rumah jugak
cucu : atuk lak?
atuk : kat lubang tandas
cucu : hik hik hik..atuk ni kelakarlah. ade ke hik hik
eh, eh! nape atuk nangis???









manusia tak habis- habis buang anak

Monday, December 15, 2008

lepASkan... LepasKan aKU

aku pertikai logika
asyik dipeluk fatamorgana
lepaskan... lepaskan aku
kerna ku perlu sentuhan yang nyata

Tuesday, December 09, 2008

RuAng maNAkah

dari satu sisi
kulihat kau melawan taufan nafsu yang datang dengan penuh bongkak keegoan

dari sisi bertentang
kulihat kau membiarkan diri dihanyut arus memasuki lautan jarum dan jurang yang mencengkam

dari sudut lain
kulihat kau bermain marak api dengan ghairah ketawa ria jerit gembira

dari sudut berbeza
kulihat kau nikmati dingin air sungai penuh murung pedih duka merana sengsara

dari ruang tengah
kulihat kau hanya diam menyepi membisu mengosong menyerah kalah berserah terarah

namun, dari sisi, sudut atau ruang manakah kau yang sebenarnya

Saturday, December 06, 2008

breaking, breaking ...kASi TEBUk !!

huuh...aku baru dapat berehat. maksudku untuk hari ini. duty malam ini. beberapa hari ini di tempat kerja memang 'ganas'. kejadian bencana tanah runtuh yang berlaku berturut- turut membuatkan semua petugas di tempat aku tidak boleh kerja goyang kaki. setiap masa semua kena bersedia dan bergegas.

selepas habis teater, memang selalunya aku akan sibuk. sibukku tak pernah habis. untuk cuti hari raya haji pun aku boleh terlupa untuk pohon. pada saat akhir baru minta pada boss. nasib baik boss kasi cuti tapi satu hari sahaja. keluargaku pula balik kampung. aduhh...aku masih tak dapat bersama keluarga lagi. marah mak!

bulan 4 tahun depan memang pasti aku kena minta cuti. seorang sahabatku ajak ke uk. dapat tiket promosi. minta aku confirm segera mungkin. dalam masa sama keluarga rancang mahu bercuti. abang dah tempah tiket air asia, maka mahu tak mahu aku kena pergi. ada eloknya juga buat macam tu. kalau tidak sampai bila tak dapat luangkan masa bersama keluarga.

terima kasih kepada rakan-rakan blogger yang hadir tonton dan menikmati teater cinta julia hari tu. ada yang dapat jumpa ada yang tidak. setiap kali habis pementasan teater memang akan menerbitkan perasaan rindu untuk berteater lagi. suatu ketagihan yang istimewa.

buat keluarga mangsa tanah runtuh - takziah diucapkan.

Saturday, November 29, 2008

kiTA sedang menoNton seorang LAgenDa


...itu kata saudara ce'kem (pelakon hati malaya)
saya macam berperang dalam hati. kotak fikir saya duk mencari apa sebenarnya keistimewaan Cinta Julia ini sehinggakan mata macam tak mahu berkelip dan badan tak mahu berkalih.

dia saya lihat macam gadis, saya lihat macam ibu, macam perempuan seksi, perempuan gagah, teguh, ajaib dan macam-macam. saya membaca dan menampi-nampi.
inilah dosa fauziah nawi. di mana dia peroleh tenaga itu semua? anda yang membaca entri ini, saya cadangkan pergilah menonton, tidak rugi... ketika kita menonton sebenarnya kita sedang menonton seorang lagenda.



menurut saudara ajami ...bagi saya, muslihat ini berjaya mengingatkan pelakon untuk bergerak-pindah ke fasa seterusnya seandainya terlalut atau terlupa. bagus!


telah memukau segenap ruang dan setiap mata yang ada dalam stor teater malam itu.. satu rasa yang menyentuh.. amarah yang menyentak dan rintih yang menghiris.. oleh qasih


saudara amal :
terkandung banyak mesej- sebenarnya - dalam luahan dialog yang disuarakan oleh fauziah nawi dengan begitu tegas jelas, lancar, sayu tapi kemas



...and so I went to see Cinta Julia, and to my own amazement, I had the greatest theatrical experience by far – mostly due to the prowess and performance of the lead actress.

I enjoyed every minute of her powerful and engaging act, and even shed a tear or two – much to the amusement of my daughter-in-law, who was also engrossed in the play..
petikan kiriman puan bibi dalam the star



rentetan kiriman itu, johan jaafar turut terpanggil...beliau mengakui pengalaman itu luar biasa sekali. drama persembahan kumpulan fauziah nawi itu sebenarnya cukup bermakna bagi beliau, juga bagi menantu perempuan beliau. malah di dalam surat yang tersiar dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris, beliau mengakui drama itu "membuka minda beliau".


seperti juga pementasan-pementasan stefani yang lain, aku cintakan tata artistiknya. sentuhan sederhana pada cahaya, setting yang memadai, amat memberi rasa hampir dengan penonton...marissa


illa - and most of the part buat aku sedih dan sebak sebb penghayatan dan pembawaan cerita tu betul2 hidup.seolah-olah aku tgk movie yg dilakonkan oleh beberapa pelakon.tabik spring aku kat Fauziah Nawi and her voice not that bad bila dia menyanyi dlm play tu.I never know that she can sing though!


bila Ibu Julia mengajar anaknya ttg kehidupan. seolah aku pun terajar sama. satu jam yang berlalu ( selain buat aku kagum dan melopong melihat ibu fauziah nawi , yang tidak berhenti semangat dan stamina ), benar-benar buat aku puas. aku tinggalkan dewan bahasa & pustaka dengan hadiah yang terlalu bernilai. dalam masa yang sama , kata-kata puisi yang dilagukan terus menemankan aku pulang.....muhammad



lenny :
sepanjang dia beraksi, saya diselubungi gelojak yang aneh-aneh. fikiran saya menerawang melebihi cerita yang dipersembahkan. saya membiarkan mata dan fikiran saya terpegun dan dipaku. saya membiarkan saja, kerana sudah lama saya tak tenggelam begitu ketika menonton...
...dan memang fauziah nawi telah dicop mohorkan untuk menjadi seorang legenda.
terima kasih fauziah nawi, kerana masih "hidup".

Monday, November 24, 2008

teater CiNta JULiA

bukan mencari pelakon berwatak baik, karakter jahat atau air mata tetapi yang versatil. di kala umur menjelang 56 tahun, adakah lagi yang seberani ibu fauziah berlakon, menyanyi dan menari...beraksi solo, berdepan dengan anda untuk satu jam




hari kedua...kata-kata penutup ibu, aku agak sayu. entah kenapa tiba tiba begitu

Friday, November 14, 2008

daTangnYa aURa...pESona

tadi petang berlangsungnya sidang media untuk teater cinta julia - persembahan solo ibu (dan tinajunya). dengan mengambil beberapa fragmen daripada naskhah penuh, ibu beraksi. selepas habis sesi bersama wartawan ketika berehat ibu tanya padaku tentang persembahannya. aku sengih je (seperti biasa). ibu kata 'nampak' aku risau. eh, ibu boleh 'perasan' saya kat depan, kata aku pada ibu. ibu 'nampak'...jawab ibu.

ketika berlakon aku berdiri kat depan pentas. betapa ibu boleh 'rasa' aku sambil beraksi, dalam pada ada penonton lain. kagum betul. walau aku jawab dengan sengih, apa yang ibu teka tu memang betul. aku akui risau tapi kali ni aku betul- betul dapat rasa soul dari ibu. pesonanya yang aku tunggu-tunggu beberapa hari ini. aku sengaja tak habis baca karya ini dan mendalaminya sebab aku nak rasa cerita ini semasa latihan. aku 'dapat' atau tak. rasa seronok sangat aku dapat masa persembahan tadi dan malam ni aku akan 'baca' naskhah abang moel ni. walau persembahan sebahagian sahaja tadi, aku optimis.

persembahan monolog memang mencabar. pelakon yang suka mencabar dirinya pasti berani sahut cabaran untuk tampil dengan monolog. satu jam beraksi seorang diri, sememangnya kekuatan terletak kepada lakonan. keupayaan menghafal skrip yang panjang, perlukan stamina yang tinggi dan yang paling penting cabaran untuk mengekalkan perhatian penonton. maka akan datanglah pesona. aura. pesona fauziah nawi dalam cinta julia. bukan di tv tapi secara berdepan. jom saksikan !

tempahan tiket sila hubungi :
farah 012 6170697
chi 0122429621
mokhtar 017 6797151
boleh layari blog stefani, fauziah nawi atau blog mr. producer

Monday, November 10, 2008




persembahan solo Fauziah Nawi
21 nov - 2 dis 2008
stor teater dbp

Thursday, October 23, 2008

kUrangkan KeSAkitan

seminggu lalu abangku terlibat dalam kemalangan. kemalangan motor. waktu kerja abang tidak mengguna kereta. untuk elak kesesakan. masa tu aku baru masuk kerja shift petang. dapat panggilan telefon daripada kakak ipar. aku fikir panggilan biasa biasa sahaja. tetapi tidak. sesuatu yang aku paling takut adalah mendapat panggilan mengkhabarkan berita buruk terutama yang membabitkan ahli keluarga. kakak ipar baru tiba di hospital dan masih tidak tahu khabar abang. rasa tak tenteram. aku minta boss carikan pengganti tugas aku. aku terus ke hospital dan beritahu berita tu kepada mak dan abah.

teruk juga kecederaan abang walau tiada yang patah. luka teruk di bahagian muka hingga berjahit di mulut. gigi depan patah. mata masuk serpihan kaca spek mata yang pecah. darah dari luar dan dalam mulut tak henti- henti hampir tertelan darah sendiri. cedera teruk di tangan dan kaki. bahu retak. aku tengok abang yang berlumuran darah dengan baju serta seluarnya koyak. ketika aku sampai di hospital abang masih tak dirawat dengan sempurna. doktor baru nak jahit luka. abang menggigil sakit dan kedengaran raungan pedih. aku tak tahan tengok kesakitan abang. ayah mertua abang marah sebab sudah hampir 4 jam, abang masih tak dirawat dengan sempurna dan terbiar lama. lalu, buat keputusan pindahkan abang ke hospital ampang puteri. elok juga mak dan abah tak sampai hospital lagi. kalau tak tentu terkejut tengok keadaan abang. abang terjatuh motor kerana cuba elak kereta yang memakan jalannya secara tiba- tiba. terima kasih kepada orang yang menjumpai abang di tepi jalan dan menelefon ambulans.

abang... abang memang selayaknya sebagai abang. bertanggung jawab dan ambil berat. selalunya abang yang tolong uruskan kalau ada apa- apa yang berlaku. semasa perginya arwah mak teh dan pak ngah, abang banyak main peranan membantu semua urusan. abang selalu tolong aku walau aku kurang ambil kisah. tetapi inilah pertama kali abang terlibat dalam kesusahan. maka, aku kena lebih berperanan sebagai adik. nasib baik keluarga kakak ipar dan sepupu banyak membantu. uruskan motor dan beberapa hal lagi. anak- anak abang masih kecil dan kakak ipar ke kerja selalunya abang yang hantar. sementara abang sembuh, rutin harian kena berubah.

sudah seminggu tetapi hampir setiap malam aku masih teringat keadaan abang pertama kali aku lihat. kesakitan yang dialami. gigilnya menahan sakit. berair mata dengan raungan pedih tak tertahan.
aku berdoa semoga Tuhan kurangkan kesakitan abang.
kurangkan kepedihan lukanya.
kurangkan bisa kecederaannya.
kurangkan kesakitan sesiapa sahaja yang luka.
aku trauma
...yang membabitkan kemalangan ... kemalangan motor.

Sunday, October 12, 2008

4, 3, 2... kepada oNe

lorong makin kecil.
jalan terus sesak.
kenderaan berasak asak.
lava di jiwa kian menggelegak.
ewah ! lu 'pa hal main potong q pulak

terima kasih Tuhan kurniakan aku dan mereka (yang mengikut barisan)... kesabaran.

Tuesday, October 07, 2008

bercuTi akHirnya

tatkala orang lain baru lepas habis cuti raya dan mula bertugas, aku pula baru dapat bercuti setelah hampir 2 minggu kerja siang dan malam ( malam ke siang ). baru tadi dapat jumpa mak dan abah. lambat sikit salam- salam raya dan mohon kemaafan (make it fast sebab tak syok le sesi salam-salam tanpa ada adik beradik yang lain). aku penyegan sikit - konon.

aku tak balik kampung sebab semuanya dah kembali ke kuala lumpur. mak dan abah pun dah ada di kl. tapi aku tak sempat jumpa adik beradik yang lain. yang bongsu terus ke uitm. abang dan adik balik ke rumah mereka. minggu depan kot baru boleh jumpa. tetapi aku teringin nak pulang ke kampung. ke rumah arwah atuk dan nenek yang tentu sudah kembali kosong. aku suka berada di kampung yang siangnya sangat panas dan malamnya sejuk teramat. kawasan kampung yang berbukit-bukau dan masih tidak dicemari ( kemodenan ) memang mengasyikkan.

mungkin aku balik juga untuk beraya ke rumah maklong dan pak tam. tak pasti lagi. yang pasti aku kena tukar tayar kereta dulu sebab bunganya sudah haus. beberapa hari sebelum raya hari tu aku terpaksa berhentikan kereta di tepi highway. radiator bocor. temperature naik mendadak. kering air. nasib baik dekat dengan kawasan rumah abang. abang tolong uruskan kereta aku. tapi abang pesan suruh tukar satu tayar tu sebab dia tak sempat nak hantar ke kedai tayar ( sebenarnya aku yang tak sesabar nak guna kereta ). aku janji lepas raya. lagipun aku tak pergi mana pun. ulang alik ke tempat kerja sahaja.

habis bercuti ni aku akan mulakan tugas dengan status baru. aku tak perlu bekerja double (trouble) lagi. banyak sikit waktu senggang. boleh luangkan masa untuk keluarga, teater dan dia. apa khabar dia..?

Saturday, September 27, 2008

shoppiNg tapi TAk raYa

hari tu dapat off satu hari sempat beli pakaian di east india. beratus habis. inilah pertama kali aku beli busana raya (selalunya tempah) dan agak mahal pula tu. aku tak merancang untuk beli apa- apa sebelum tu, tapi aku kalau sudah berkenan terus sahaja sambar.

ironinya syawal kali ini aku tidak bercuti (shopping sakan konon). aku kena bertugas kerana giliran bekerja. aku akan berumah di ofis. cuma 3 orang yang bertugas di unit aku. masing- masing layan 2 atau 3 shift sepanjang 2 minggu ni. aku tak pasti larat atau tak. nampaknya kena makan vitamin berocca ni, dan juga lebihkan hundred plus. aku tak kisah kerja berlebih masa cuma takut kualiti kerja menurun. harap boleh bertahan. keluarga aku balik kampung. kiranya tak dapat beraya bersama mereka. keluarga tidak sempurna sebab abang dan adik beraya bersama keluarga mentua masing- masing. dicampur tiadanya aku, adik bongsulah yang menemani mak dan abah bersama kaum keluarga yang lain.

kepada semua rakan-rakan, tentunya aku ada berbuat salah. mohon maaf seikhlasnya dan selamat menyambut hari lebaran penuh mulia. semoga bergembira di sisi keluarga dan sanak saudara.



*daripada azza & izie...juga Qasih, terima kasih

Sunday, September 21, 2008

peMberian... terima kaSih

daripada kak lawa




juga daripada azza



dengan kemeriahan dunia blog penuh dengan tag, award dan gift yang dikreasi dengan kreatif, saya turut sertakan pemberian sahabat tanda ingatan. terima kasih. :)

Sunday, September 14, 2008

bErsama STEFani

dapat mesej...semestinya mesej berantai ke geng stefani lain. ajakan berbuka puasa di ofis stefani. dan semestinya aku tidak dapat hadir lagi (seperti selalu). aku masuk shift petang sampai dua pagi dan tiba- tiba kena lanjut pula sampai 8 pagi. lama tak jumpa geng teater ni. nak jumpa ibu, abang mokh dan tentunya nak tahu khabar abang moel. terukkan aku tak dapat lawat abang moel masa kena serangan jantung hari tu. dapat datang hanya masa hari akhir abang moel di hospital.

abang moel kena heart attack tu semasa stefani adakan kenduri sempena hadirnya ramadan. 29 Ogos - hari pembentangan bajet. aku bertugas seharian. kena kerja pada masa puncak pada malam tu pula. petang tu abang moel ada call, bertanyakan aku datang atau tak majlis kenduri - semestinya aku tak dapat datang (lagi) kerana bertugas. habis kerja, sms ibu - bertanyakan kenduri, bagaimana? ibu beritahu abang moel kena heart attack. terkejut aku. tak percaya abang moel boleh kena. selepas malam tu, aku cuba nak curi- curi masa nak lari ke hospital tapi tak sempat.

abang moel (iryanda mulia ramly) - penulis skrip, pengarah muzik dan acting coach kami di sanggar teater fauziah nawi (stefani), di antara teraju utama stefani yang aku kagumi. keikhlasan dan kejujurannya dalam berkarya amat aku rasai. harap abang moel sihat. alhamdulillah - semasa jumpa di hospital, abang moel dah ok. tapi terikat kena makan ubat setiap hari.

berbalik cerita berbuka puasa tu, aku datang gak tapi pergi awal sebelum masuk kerja. singgah di ofis stefani tak sampai sejam kerana aku perlu lari ke ofis satu lagi untuk melaksanakan kerja. ohh kerja !


*nantikan monolog solo ibu fauziah nawi november nanti

Monday, September 01, 2008

Last Breath- Ahmed Bukhatir

oh God, oh God !
i cannot see my eyes are blind
am i still me
or has my soul been led astray
and forced to pay a priceless fee




more about "Last Breath- Ahmed Bukhatir", posted with vodpod

Sunday, August 31, 2008

Thursday, August 28, 2008

2 jaM sebeLum pemeNtasan rupanYa


dalam sibuk(dan ngantuk) sempat juga aku 'lari' meredah hujan lebat ke akademi pengajian islam, um untuk menonton teater karya faisal tehrani ini. kenapa di sini pementasannya ya. aku yang bekas pelajar um ni tahulah tempat ni tetapi untuk penonton luar datang tentu sukar untuk cari(terutama dalam malam yang basah ini). akademi ini jauh ke dalam sana. aku keliru juga di pintu masuk auditorium a.i ni. tahu di mana akademinya tetapi tidak audinya.

sebelum masuk panggung, terjumpa hisham, azahari dan rais. dah agak mesti dia orang datang punya nak tonton teater arahan bekas pensyarah dia orang di jabatan media - dr. abu hassan. tak sempat borak panjang sebab pementasan dah nak mula. bersama mereka sekali, farid kamil. aku sempat beli buku (memang suka beli tapi bacanya...lambat habis). pertama kali beli karya faisal tehrani. aku pernah terlibat dalam pementasan angin madinah semasa di universiti dulu. aku suka skripnya.

yang menarik aku datang tonton teater ini, pertama sekali tajuknya. kedua, sebab zack idris berlakon - aku memang teringin tengok si johnny bikin filem ini bikin teater pula. aku memang minat gaya lakonan zack sejak tonton drama akademi yang pernah disiar beberapa tahun dulu. suaranya memang hanya dia sahaja. artikulasinya mantap.

ketiga pula tentunya kerana pengkaryanya. dan keempat sebab nak tengok pembawa watak coffee boy . tak sangka rudy hebat di pentas teater. terpegun dengan karakternya sehingga setiap kali muncul, pandanganku yang menekuni zack bermonolog teralih.

20 minit pertama selepas habis monolog maya longoria, aku dah dapat agak drama ini. aku tertipu dengan retorika pengarahnya. teringat teater retorik karya dr abu hassan - tidurku di rumput yang basah semasa di um dulu. hisham yang arah. rasanya dr abu hassan gemar dengan paparan proses in the making agaknya. entahlah, aku tak pernah ambil subjeknya. tak pernah tonton dramanya yang lain. aku tak tahu, cuma tekaan.

tajuk drama, paparan poster yang beraksi seolah menggambarkan teater ini bercorak purbawara. aku datang dengan keghairahan ingin mengetahui apa berlaku 2 jam sebelum sultan alauddin( raja dari kesultanan melayu melaka yang paling kugemari) diracun tetapi rupa- rupanya drama ini memaparkan 2 jam sebelum pementasan sultan alauddin syahid diracun. nasib baik aku menjangkanya awal. ah! satu penipuan yang cerdik dan menarik. teater ini agak teoritikal- merujuk teori augusto boal (menurut purnasutranya). lantas aku teringatkan ajaran mendiang dr. krishen jit dalam kelas teori seni persembahan. terdapat teori yang menyentuh tentang persembahan yang tidak tertakluk kepada pemusatan centre. tidak mengikut tatacara. eksperimental tentunya. ada pada drama oleh akademi sinema amatur malaysia ini. para pelakonnya memeran dengan bersahaja. drama ini berani. politik satiranya walau cuba disubtekskan tetapi nyata dan jelas. sangat berani dan aku suka ( walau tentu bagi sesetengahnya sedikit memenatkan)




"...bukan zaman ini sahaja isteri pembesar membunuh orang" - tun senaja

Friday, August 22, 2008

lanGKahi seGAla...tetaPi

tiba tiba aku rasa mahu melompat melangkahi segala
tetapi aku takut jatuh ke depan
tak sanggup hadapi sedia yang ada

Monday, August 11, 2008

muLTi...menGgauLi Seni

di tempat kerja ku akhir- akhir ini memperkatakan tentang multi task, multi skill. dalam masa sama juga di sesi 'borak- borak' bersama geng teater juga memperkatakan tentang multi...multi talented, multi skill.

aku pernah mengenali beberapa orang yang multi ini dan diakui aku mengkagumi kebolehan pelbagai yang mereka ada. menyentuh tentang kebolehan...ada punya bakat semula jadi. baru dipetik suis sikit, mereka berupaya menyerlahkan segala. ada juga perlu dipupuk bakatnya. mengambil masa dan didorong keinginan sendiri yang kuat. ada juga yang barangkali punya bakat tetapi tiada kemahuan dan mungkin wujud juga orang yang tiada bakat, tiada juga keghairahan. aku merujuk kepada menggauli seni itu sendiri.

bertuah siapa yang bersifat multi itu dan menyedarinya. aku percaya anugerah Tuhan. seni tidak tertutup kepada sesiapa. ilmu terbuka untuk semua bagi sesiapa yang mencarinya.


belajar tetapi tidak cukup menggaulinya.

Wednesday, August 06, 2008

meNcengkam JiWA mencuCUk raSa

teater sudah habis. alhamdulillah ... perjalanan persembahan lancar dan sambutan menggalakkan. hampir setiap malam panggung penuh. terima kasih kepada penonton yang hadir sudi menikmati teater ini.

7 drama - 2 drama pendek, 5 monolog. semestinya audiens punya pilihan sendiri yang mana lebih disukai. persembahan monolog memberi cabaran kepada pelakon. selain untuk mengingati dialog yang panjang, yang beraksi perlu punya magis sendiri untuk menarik penonton tertumpu pada mereka. baik ija, yan, emy, ard mahupun ibu fauziah, masing- masing telah memberi upaya mereka selama 9 malam itu. pada malam persembahan terakhir, baru aku menonton sebagai penonton, menikmati teater karya abang moel, chi dan dato baha ini.

malam 7 drama 7 duri sangat mencengkam jiwa, mencucuk rasa,
pergilah lari ke mana...kesannya bisa terasa!
aku rapuh kali ini

Sunday, July 27, 2008

7 malam lagi 7 drama berDuRi

7 malam lagi, malam- malamku di stor teater. ada kawan bertanya tak bosan ke menghadap persembahan yang sama. aku mendepani mereka sudah sebulan lebih. walau dialog dan gaya yang sama tetapi setiap hari aku mendapat sesuatu yang lain. tenaga dan mood mereka sentiasa berbeza. 4 persembahan (termasuk 2 sesi pratonton) berlangsung dengan baik. harap para pelakon dapat mengekal atau menambahkan daya mereka.

di pintu masuk panggung, stefani ada menjual cd lagu teater opera ayu cendana dan cd single terbaru bertajuk tika - tinaju. lagu dari teater perjalanan bu aminah diberi nafas baru oleh wan yuzaini yahya - vokalis kami yang merdu membuai suaranya.

Sunday, July 20, 2008

perTama TeraKHir sold ouT



terkini untuk informasi bakal penonton malam 7 drama 7 duri, tiket pada 25 julai dan 2 ogos sudah habis dijual. grup stefani mengambil alih stor teater bagi meneruskan program klfringe festival yang akan tamat pada 8 ogos. selepas persembahan akhir stefani pada 2 ogos, akan menyusul ...
Biografi Dokumen Tari(Arifwaran) - 3 & 4 ogos
Mural Jam “Bahasa Jiwa Bangsa” - 8 ogos

kepada sesiapa yang berminat menonton MALAM 7 DRAMA 7 DURI boleh beli tiket di pintu masuk atau tempah tiket di talian ...

012 6170697
012 4340807

satu malam ada 7 drama 7 duri. persembahan untuk 9 malam pula, maka akan jadi penuh drama lebih duri. Jom tonton!

Tuesday, July 15, 2008

musiM teaTER

teater ni seolah bermusim. selepas p.ramlee the musical, tok perak, bukan de javu, raja bersiong, kini pula berlangsungnya kl fringe festival dan festival teater malaysia. kemeriahan yang membanggakan ini buat aku sedikit terkilan kerana terpaksa melepaskan beberapa persembahan. khalayak teater - barangkali penuh jadual tontonan mereka bulan ini. mungkin ada juga yang kena buat pilihan. tentu ada yang terpaksa dilepaskan kerana ada persembahan yang bertindih harinya (dan memilih persembahan bertiket atau tidak).

dalam pada aku merindukan masa, sempat juga menonton teater tengku kudin sempena festival teater malaysia di mtc. seronok juga dapat tonton persembahan grup pelakon (pertubuhan pentas lakon um). rindu pula saat- saat 10 tahun lalu. bang kudin dan ramzi, 10 tahun lalu mereka beraksi di pentas yang sama dengan teater baju emas sang maharaja. ramzi sebagai pengarah ketika itu. bang kudin menang best actor. itulah penglibatan pertama aku di sebalik tabir dalam pekan teater (sekarang dipanggil festival teater).

pelakon sebelum itu telah berkubur dihidupkan kembali oleh ramzi dan rahmat. aku menjadi setiausaha. banyak jugalah cabaran untuk menggerakkannya. kemudian ada balkis, bang kudin (rosdeen suboh), azlim, dot (dorothy jonathan linggang), boyak (herizal), syahrul fitri, aida, hisham, anne, roslan dan ramai lagi membantu menaikkan pelakon. di antara teater kami di pekan teater iaitu baju emas sang maharaja, wau bulan, kursi, dan obsesi. kini kebanyakan mereka menjadi pegawai kebudayaan, pensyarah dan pro. aku seorang yang tercampak di bidang penyiaran dan kini seolah tertarik kembali.

Friday, July 04, 2008

MALAM 7 DRAMA 7 DURI




a night of seven short drama and monologue by fauziah nawi and her performers (children, teenagers, youths )
original composition from iryanda mulia ramli ( a cameroon award winner in music).


July 25 - August 2, 2008
9pm
Stor Teater DBP
Kuala Lumpur
www.akulahrawana.blogspot.com

Tuesday, June 24, 2008

akU . . .

...kesan hidup semalam
akan sentiasa menjadi insan kesan yang semalam

Saturday, June 14, 2008

seakan haMKa



agak lama aku berhenti membaca karya-karya fiksyen, tetapi ayat ayat cinta membuka kembali penerimaan mindaku dan menyegarkan semula ruang imaginasiku. aku beli novel berunsur romantis islamik ini pada bulan oktober 2006. waktu itu baru dipasarkan di malaysia dan aku tidak terfikir fenomena yang akan dibawa oleh novel sulung habiburrahman el shirazy ini.

terbaca ulasan novel ini, aku tidaklah tertarik dengan kepopularan dan pengiktirafan novel ini di indonesia. tetapi penyataan bahawa novel ini seakan karya-karya hamka menjadikan keinginan untuk memilikinya membuak- buak. masakan aku boleh melupakan kesan aura novel masterpiece hamka - tenggelamnya kapal van der wijck dan di bawah lindungan kaabah.

kisah cinta dengan pendekatan bercorak islamik yang dipaparkan oleh dua novelis inilah menyamakan mereka dan disebabkan faktor itu ibarat magnet memaksa aku.

"hati saya gerimis usai membacanya"

mengambil kata hamizar ridwan-sasterawan dari indonesia ini, samalah rasa yang terlukis di hati aku.

sebelum menonton versi filem, ku cuba tidak membaca semula buku itu supaya aku mahu menonton sesuatu yang aku tidak tahu kisahnya. aku cuba juga tidak mahu tahu apa-apa tentang di sebalik pembikinan filem ini. aku seolah menipu menontonnya dengan pengetahuan yang kosong. konon dengan minda yang segar.

diakui mencabar untuk mengadaptasi novel ke filem. apatah lagi seperti karya seunggul ayat ayat cinta ini. tidak dapat elak, tentunya perbandingan akan disentuh oleh pembaca (juga penonton) karya ini. mencabar kreativiti(dan kredibiliti) pengarah mengolah karya ke medium filem.

dengan paparan latar legarnya di mesir, filem ini berkisar fahri, pemuda indonesia yang melanjut pelajaran di universiti al-azhar, kaherah. tatacara dan perilaku fahri yang tertib dan terjaga, menawan hati empat gadis. perkahwinan yang direncanakan dengan aisha (gadis berada keturunan jerman-turki) mengecewakan 3 yang lain hingga fahri terjebak dalam fitnah dengan tuduhan memperkosa yang memenjarakan dirinya. hanya seorang saksi yang boleh menyelamatkannya dari hukuman - maria, tetangga fahri penganut kristian koptik yang turut mendambakan fahri (sekadar dalam diari). tetapi maria sedang sengsara kesan pendam cinta yang obses. lalu demi menyelamatkan suaminya (dan juga maria), aisha mencadangkan sekaligus mengizinkan fahri menikahi maria. dengan statement maria di mahkamah yang menjelaskan kebenaran akhirnya membebaskan fahri. namun, maria cuma sembuh seketika. pemergiannya menjadi denouement filem ini.

adaptasi sutradaranya, hanong bramantyo membawa beberapa perubahan dari naskhah asal. namun masih berpegang dengan nada asal ceritanya. kesan hasil yang dikonstruk, aku terima perubahan pada tambahan 'kehidupan' watak maria. mengikut novel, maria koma selepas adegan di mahkamah. kontrasnya dalam filem, diperlihatkan situasi maria sempat menjalani kehidupan suami isteri dan bermadu. barangkali rasional dramatik pengarahnya untuk memenuhi harapan 'fairy tales' penonton. aku terima kelainan ini.

walau sengaja mengosongkan minda, mana boleh aku lari dari jangkauan atau ekspektasi terhadap karya hebat ini. kurang terasa 'mesir'nya. itulah perkara pertama yang tercetus di mindaku ketika menonton filem ini. di dalam naskhah terlalu hidup pelukisan suasana di mesir. hingga terkhayal visual kehidupan di sana. aku faham kesulitan produksi dan kekecewaan sutradaranya sendiri kerana tidak mendapat lokasi yang setepat di dalam novel. sememangnya sebagai seorang yang mendalami novel dulu, aku akui sedikit tidak puas tetapi dalam konteks sinematik dan upaya artistik, aku menghargai filem ini kerana punya usaha untuk me'mesir'kan indonesia dan india(lokasi penggambaran). walau jiwa mesirnya kurang kerana lebih berbaur indonesia.

mengadili filem ini, aku memusatkan pada rasa untuk menikmati karya seni. filem ini punya keindahannya. sutradaranya berjaya memberikan unsur dramatik yang sederhana tapi berkesan. ia tetap berjaya menyentuh dan meruntun hati serta memberi kelainan berbanding filem cinta yang murah. paparan perhubungan dan cinta dalam konteks islam sangat halus, suci dan indah.

barangkali filem ini berjaya dan berjiwa kerana hasil estetika novel itu sendiri hingga membawa magisnya ke filem.
untungnya hanong, aura novel ayat ayat cinta melekat kepada filem lantas menyelamatkannya. terima kasih hamka kecil.

Thursday, June 12, 2008

menGapa sEpi ?

sepi sinonim dengan nuansa indah. di tangan kabir dengan sentuhan mira yang pernah mengulit rasa dengan cinta, tak sabar merasa sepi yang pastinya indah terutama pabila tatapan gundah mata afdlin bertemu vanidah di samping kehadiran si jelita nasha, pengubat atau penambah resah.




* kerana afdlin, nasha & vee...

Sunday, June 08, 2008

kesilAPan terBaik

akibat kesalahanku itu, ironinya beri kejayaan kepada semua. apakah yang patut ku rasa ? selain keliru.

Monday, June 02, 2008

merasai oNCe




tekad untuk menunggunya keluar panggung, akhirnya nantiku benar. tahu sahaja once akan ditayangkan di international screens gsc, aku terus tonton dalam pada ramai memperkatakan tentang blockbuster narnia dan ironman.

terima kasih jimi kerana ‘memberitahu’ cerita ini (sejak akhir tahun sudah) yang membuatkan aku ketagihan lagu if you want me dan tentunya falling slowly (memenangi oscar for best original song) tanpa menontonnya terlebih dulu. once filem indie Ireland yang telah memenangi banyak anugerah antarabangsa ini merupakan cebisan autobiografi pengarahnya sendiri, john carney.

filem ini ringkas dan berskala kecil. dengan hari penggambaran yang pendek berlatar lokasi sekitar grafton street dan st. stephen’s green di kota dublin, ia memberi rasa tersendiri.

simple but great!

lebih baik menghasilkan filem yang ringkas tapi meninggalkan impak yang besar dari menghasilkan filem yang sarat tapi beri kesan yang kosong.

namun, aku bukan tertarik dengan ringkasnya cerita ini. aku sukakan kejujuran yang ada pada filem ini. rasa yang sama terbit sebagaimana aku menonton filem spinning gasing dan karya- karya yasmin.

lagu-lagu yang seiring menggerakkan cerita begitu indah. menggetar rasa. terasa sentuhan emosi penciptanya, yang juga peneraju watak - glen hansard dan marketa irglova

filem bercorak muzikal ini berkisar tentang guy dan girl (oh filem ini hanya ada watak tapi tiada nama) yang bertemu di jalanan, pantas menjadi akrab, berkongsi rasa dan idea menerusi lagu.

seni merapatkan sesama insan, seni menciptakan kemesraan, seni mencernakan persefahaman walau tanpa mengungkap kata. seni juga menjurus terdetiknya pelbagai rasa termasuklah cinta. kerana menyanjungi seni itulah yang mengalirkan ikatan kimia antara guy dan girl walau baru berjumpa di jalanan ketika guy melagukan ciptaannya dengan penuh emosi.

rutin seharian, guy membantu bapanya membaiki alat pembersih hampagas di samping busking di pinggir jalan untuk menambah pendapatan (dan untuk melepaskan perasaan ditinggal kekasih). girl, gadis imigran dari czech menjual bunga juga di jalanan. keduanya punya persamaan meminati dan berbakat dalam muzik. guy dengan gitar kapoknya yang hampir kopak, girl dengan kebolehan bermain pianonya (sekadar menumpang bermain di kedai muzik). kagum dengan bakat guy, girl membantu buat pinjaman untuk menyewa studio menghasilkan album demo bagi merealisasikan impian guy menjadi penyanyi di kota london.

perhubungan mereka sangat menarik. bersahaja, jujur, hormat dan ikhlas. seakan terbit cinta tapi tertahan. mereka ditakdirkan berada di tempat yang sepatutnya tetapi pada masa yang salah. pengakhirannya, setelah album siap, guy ke kota london dan girl bersama suaminya semula. guy menghadiahkan piano kepada girl. hubungan diakhiri tanpa sempat berkata apa. filem ini bertanya ; how often do you find the right person?

Friday, May 30, 2008

sukaRkan yAng RingaN

sesuatu yang mudah sering diambil ringan hingga menjadikan ia sukar. oh kerana sikap, kerana sikap!

Saturday, May 24, 2008

i kNow wheN i see it

aku tidaklah punya sifat tipikal seperti kebanyakan wanita lain yang gemar membeli belah. kalau ke shopping complex, aku lebih suka menyinggah ke premis buku, music centre atau stationery. kawan ajak ke mana- mana...op op sebelum tu.. ada mph tak? ada borders tak? ada panggung wayang tak? ada tempat makan tak? (ada duit tak?)... ok ok jom! adakalanya (sekadar cuci mata) ke bahagian hiasan rumah dan elektronik. seronok gak tengok barang-barang yang dijual (sambil berkhayal memiliki).

hendak membeli barang selalunya tidak dirancang. kalau tengok, berkenan dan pusing kat area tu 2-3 kali, apa lagi terus sambar. maka, gara- gara tabiat aku yang sudah dijangka ini, dalam bajet bulanan kena asingkan bajet kontingensi. untungnya aku bukanlah mudah untuk berkenan. sukar untuk suka. tetapi jika sudah gemar, tak kira harga. aku pasti beli. oh, bajet kontingensi ini sememangnya agak tinggi. sebab yang tidak untungnya, kesukaan aku harganya sering yang tinggi. terketar-ketar tangan bayar tau. tak sesal tapi rasa nak nangis je.

aku jarang beli pakaian (tapi suka beli jaket, kat tempat kerja i sejuk le), alat kosmetik apatah lagi. aku beli buku, vcd atau dvd dan suka beli instrumen miniature (SIAPA YANG CURI SET GENDANG MINI AKU KAT ATAS MEJA OFIS HAH!). untuk benda-benda ini aku tak kisah tentang duit (walau tangan tetap terketar membayarnya). pernahlah aku cuba untuk elak dari singgah ke mph dan speedy tapi ohh..jiwaku rasa kosong. aku melangkah longlai keluar dari shopping complex tanpa apa- apa...kosong. tanpa pembelian dan pengisian. tapi dengan penjimatan. argh..aku tak mahu!



*tengah cari kecapi mini

Wednesday, May 14, 2008

akSi topEng topEng







*semestinya rindu kalian

pILihan USia

bila aku lapan belas
aku tidak memilih kesenangan
tetapi cinta
bila aku dua puluh
aku tidak memilih angin tetapi api
bila aku tiga puluh
aku tidak memilih perubahan tetapi revolusi
bila aku empat puluh
aku tidak memilih resah tetapi sepi
bila aku dewasa
aku tidak memilih khayalan
kecuali yang pasti
tanpa ketakutan lagi
puisi oleh baha zain


long ages
millenniums of time
weave a thick woolen veil
of ignorance, rituals and custom
over the ears which cannot hear
the eyes that cannot see
and the breath of freedom
by vivian greene

Saturday, May 10, 2008

seMOga ...

... Tuhan selamatkan aku

Tuesday, May 06, 2008

hari pENUh masaLAh

hari ini...oh tidak, semalam hari penuh masalah. bukan masalah aku tetapi aku menerima dan mendengar beberapa masalah. sekaligus aku turut terlibat dengan permasalahan itu. entah kenapa dalam perjalanan pulang ke rumah tiba-tiba berdering-dering aku terima panggilan yang berturut.seakan telah diatur.

panggilan pertama dari rakan baru, kedua-sahabat lama, ketiga dari seseorang dan keempat dari adik. melingkari masalah kehidupan, perhubungan, pekerjaan dan keluarga. peliknya aku yang dalam kepenatan (minda)dan bukan jenis pendengar yang baik, boleh mendengar, menerima dan memberi pendapat dengan bersahaja.

kepala sangat berat tetapi hati terlalu tenang. apa yang berada di minda tidak sampai ke hati. aku tertidur selepas itu dan bangun dengan kosong.

Sunday, April 27, 2008

5 yanG pErtama

maaf tidak mengikut syarat apabila di 'tag' sebab beberapa kesibukan di minda melanda.
tapi nak jawab juga.

5 perkara pertama dalam hidup. jeng jeng jeng.wahh berat juga untuk senaraikan mengikut prioriti biarpun kedengaran mudah. perkara yang tersenarai ini (4 ke bawah) mungkin akan berubah tetapi buat masa ini, inilah dia :

1. tentunya Tuhan. tak perlu ditidakkan. memberikan segalanya biar aku balas dengan tidak sempurna
2. keluarga semestinya, walau kurang diberi ruang, di sisi sentiasa menenangkan
3. seseorang
4. kerja
5. duit


*terima kasih tun teja. tag ni membuatkan saya berfikir sejenak.

Wednesday, April 16, 2008

biSTro EKSodaS



kepada semua bakal penonton teater Topeng Topeng, tiket boleh didapati pada malam persembahan atau telefon ke talian berikut :

Mokhtar (017-6797151)
Chi (012-2429621)
Anis (016-3203897)
Azi (012-2726553)

Tel/Fax Ofis : 603 42535393
Email : mok61@streamyx.com/ mok611@gmail.com
www.akulahrawana.blogspot.com


selamat datang ke biStrO EKSOdaS !!!

Sunday, March 30, 2008

keSEdihan yang BAgaimaNA

apabila kita bersedih, apa yang kita rasa
takkan hanya menangis
sedih...menangis
menangis sedih
baiklah...apa kata kita ketawa
ketawa sedih
sedih ketawa
pancaran mata mahu disorok ke mana
menghasil sinar yang kelam
berair konon sakitnya mata
peritnya di hati
kau mahu sorok di mana
sedih ke mana
sedih yang bagaimana

Monday, March 24, 2008

Saturday, March 22, 2008

steFani perSembah toPeng TOPEng


di antara koleksi puisi Dato’ Baha Zain yang popular, topeng - topeng dipilih di mana isi dan maksud puisi ini dijadikan tema skrip. di samping puisi-puisi beliau yang lain untuk menyokong dan membantu perkembangan tema dan plot teater ini.

cerita berlaku di sebuah bistro yang selalu menjadi kunjungan beberapa orang profesional untuk melepaskan penat selepas seharian bekerja di kantor. sedang mereka rancak berdebat sambil berpesta, Watak 1 mendapat berita kematian ibunya. Berita ini mengejutkan mereka dari khayalan dan omongan para pelayan di bistro itu. kematian membuatkan manusia sedar ada yang mengatur segalanya.

“…aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan ..atau berbicara dengan diplomat, profesor atau peguam…”

“…dalam gendang perang nanti malam akulah rawana dengan topeng hanuman ”


arahan fauziah nawi
skrip & muzik iryanda mulia
selanjutnya...lawatilah www.akulahrawana.blogspot.com

Tuesday, March 11, 2008

aku taK berDaya

kesilapannya
kau tak berdaya berterus-terang
dan aku tak berdaya mentafsir...



cebisan puisi Zurinah Hassan ingatan pada kasih yang tak jadi ini terlalu sukar untuk aku melupakan bait- baitnya yang begitu menusuk

aku yang taK keep In toucH

akhir-akhir ini, aku diSMSi(tidakkk...berani aku menggunakan perkataan bombastik!) oleh beberapa rakan lama. kawan sekuliah, sama sekolah dan sesama nakal(serius aku tidak).

ada yang sindir aku ibarat sedang bermastautin di italy(kenapa italy??), tak mahu pulang lagi. dengan dunia sendiri penuh khayal yang indah, dikelilingi binaan, bangunan, seni arca yang cantik, penduduknya, jejakanya...wow! romantik, artistik! estetik! GILA!

aku dibesar, bersekolah, sambung belajar, bekerja semuanya di kuala lumpur. kawan- kawan juga ramai menetap di sini. tapi itulah aku bukan sahaja sudah lama tidak berjumpa, berhubung pun tidak. aku sendiri kurang gemar(yang teramat) dengan sikap ini. terima kasih sahabat semua yang masih mengingati, setia menghubungi, merindui aku yang tetap ingat kalian semua. tetap takkan sesekali lupa walau duniaku jauh di bumi romania! hah hah hah...aku gila!

Sunday, March 09, 2008

pRu 12

5 negeri dikuasai parti pembangkang! sangat terkejut...yang paling... di wilayah persekutuan & selangor. smart...sangat smart parti pembangkang. salute habis sebab dapat kuasai negeri-negeri utama tu. perak, pulau pinang, kedah, selangor dirampas. kelantan kekal di tangan pas. kuala lumpur(parlimen)...bn menang hanya 1.

daripada pemikiran aku, bn lebih fokus pembangunan dengan manifesto kekalkan perpaduan. sedangkan parti pembangkang(terutama di lembah klang) melaungkan isu kenaikan harga minyak dan barangan, serta kebajikan. bukankah penduduk di lembah klang(yang sara hidup semakin meningkat antara sedar dan tidak) lebih memandang kepada isu yang lebih dekat dengan mereka. maka, hasilnya...

kawasan tempat aku(dan keluarga) mengundi di bandar tun razak, cheras dimenangi pkr. di tempat aku menetap di lembah pantai juga dimenangi pkr. tetapi bn kekal kuasai tampuk pemerintahan. pengundi kontemporari & generasi starbucks di lembah klang, silent voters di penang, pengundi lama di kedah & perak, segalanya pilihan mereka. bn sangat tercabar kali ini!

Saturday, March 08, 2008

selekSi ElectioN

sebetulnya aku malas nak menyentuh langsung tentang politik di laman ini. suatu perkara yang kurang digemari tetapi terpaksa terima kerana ia melingkari sekeliling kita dan sedikit sebanyak(sangat) mempengaruhi.

kehadiran pembangkang sememangnya perlu dalam sebuah negara demokrasi. jika dikuasai satu parti sahaja, akan adakah kebaikan, pembangunan dan kebajikan untuk rakyat? pembangkang memberi cabaran kepada parti kerajaan menunaikan janji kepada rakyat. maka, dalam mereka berkempen, bercerita tentang apa sahaja, kehadiran di antara mereka sesuatu yang normal dan itulah politik!

beberapa jam lagi, selamat mengundi rakyat malaysia!

Tuesday, March 04, 2008

di aNtara foto KLku


wan, faizal, abang moel & irfan


anis seduce an baik punya. posisi gesture cantik

Monday, March 03, 2008


d' art of chi

Tuesday, February 26, 2008

simptom afterMath

rasanya aku sedang mengalami simptom perasaan yang...argh...sukar untuk di...ku namakan simptom theatre aftermath. kerinduan teramat yang terhasil dari ketidakpuasan. aku berasa sangat tidak puas. cepat ia berlaku... berlalu, ibarat hati yang baru hendak berbunga, disentap lalu dicampak ke sungai...hanyut...hanyut.

bertambah bingung aku kena menghadapi bahang pilihan raya! twist yang benar- benar mengacau.jiwa aku hilang tak pasti ke mana. indahnya seni yang dunianya misteri penuh aura!

Monday, February 18, 2008

teaTer KLkU


WAKTU & TARIKH
8.30 malam, 22 hingga 24 Februari 2008

TEMPAT
Panggung Bandaraya Kuala Lumpur

MASUK ADALAH PERCUMA.

PENGARAH
Fauziah Nawi

SKRIP & MUZIK
Iryanda Mulia


PELAKON

1. Raihan Jamil, Ashrin Abd Azim, Shahizal Arshad, Wan Yuzaini Yahya, Jihan Musa, dan beberapa pelakon baru dari bengkel teater Stefani 2007.


SINOPSIS - KLku

Karya Iryanda Mulia
Arahan Fauziah Nawi.
Terbitan Stefani dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Lanang datang ke Kuala Lumpur kerana tidak sanggup menerima desakan majikannya,
Wak Suparman yang mahu menjodohkan anaknya Masitah seorang Pengurus Kilang yang ditinggalkan suami.
Lanang tidak bersedia untuk berumah tangga. Di Kuala Lumpur Lanang merasa bebas serta lebih banyak berhibur dari bekerja.
Lanang terpaksa bekerja keras untuk menyara kehidupan mewahnya. Dia merasa letih dan rungsing.
Di tempat kerja prestasi kerjanya menurun, Lanang merasa beban dengan peraturan yang telah
ditetapkan oleh Tuan Besar. Lanang akhirnya menghasut pekerja untuk mogok.
Dia bertemu Muhammad Arkib bin Sulaiman Sadoor yang telah memperalatkannya untuk
mencari keuntungan melalui jalan pantas. Berita kematian kedua orang tuanya mencetuskan
satu rasa kesedaran mengenai kehidupan lalu Lanang kembali merenung kepada peristiwa-peristiwa
hitam-putih yang telah dilaluinya. Lanang akhirnya sedar yang dicari dalam hidup bukanlah kebebasan
tetapi mencari suatu tanggungjawab yang memunafaatkan diri, keluarga dan masyarakat.

Saturday, February 16, 2008

hilanG untuk Cari

akhir- akhir ini aku hilang hari, hilang masa kerna apa? berusaha untuk mencari diri menjadi manusia

Friday, January 25, 2008

menjanGKau fikir...kalA maLam


suatu yang menarik tentang mamat khalid iaitu ideologi yang diterapkan dalam karyanya. aku sifatkan beliau punya pemikiran yang sinikal. neo noir filem kala malam bulan mengambang, dan aku melihat filem ini agak komikal yang parodi. tengah menonton tiba -tiba fikiran aku menjangkau mengaitkan filem ini dengan kartun lat. fragmen- fragmen dan satira filem ini buat aku terkenangkan siri the kampung boy, town boy, keluarga si mamat dan mat som. melayang lagi fikiran aku, teringatkan pula stephen chow pada karakter mat piah...salih bin mat piah.fikiranku sama merapunya dengan filem ini. merapu yang menjentik! lama selepas itu tiba- tiba teringat mamat dan lat sibling maa. . .

Friday, January 18, 2008

00:o0

tepat 00:00 sebentar tadi aku baru punch in. masuk kerja shift tengah malam. kelakarnya sebelum tepat 00:00 tu ramai para petugas menunggu depan perakam waktu. ada yang nak out dan ada juga nak in. tengah-tengah malam ni waktu orang sedap beradu merembes air liur, di tempat kerja aku punyalah happening. ada yang segar bugar baru lepas mandi, ada yang mata kuyu tak sabar nak balik tidur. 24 jam beroperasi.

sebenarnya aku rasa sangat letih sebab pada siang hari bergerak ke banyak tempat. tak boleh tidur sehingga pukul 8 pagi nanti. mataku sukar untuk lelap. seorang sahabat aku pernah berkata rutin hidup aku tidak normal. tetapi rutin normal aku sebeginilah sejak 7 tahun lalu.

Monday, January 14, 2008

bOnyari BanD



semalam aku beli cd lagu kumpulan bonyari band dari jepun ketika mereka mempersembahkan hiburan jalanan (busking) di bangsar. aku mahu tonton lama persembahan mereka, tetapi perlu bergegas ke foodcourt sebab ada 1 jam lagi untuk sambung kerja. terpegun dengan instrumen muzik yang dipanggil didgeridoo dengan menghasilkan bunyian ala horn. harga cd nya RM 10. muzik berkonsepkan rainforest yang mereka perdengarkan sangat menarik dan menangkap (barangkali mengikut citarasa aku sahaja). kumpulan ini tentunya telah bermain banyak tempat di jalanan seluruh malaysia. lagu - lagu mereka menghantui benar. asyik terngiang-ngiang sahaja.

Tuesday, January 08, 2008

wherE do i start

kerana terlalu asyik dengan kerja aku tiba- tiba mahu membuat anjakan paradigma. aku tak sanggup memendam kerinduan untuk kembali merasai keserabutan dan kegilaan dunia teater. tetapi setelah beberapa tahun, bagaimana untuk aku mula kembali berjiwa apabila setelah aku sudah menghampiri terus sahaja menjadi buntu.