terkadang terpaksa sarkastik kerana hati mereka sukar dijentik

Wednesday, March 25, 2009

terpaksa mengandaiKan

jarang dapat berbual dengan mak. tapi apabila jumpa siang tadi mak berbual berkenaan hal politik dengan aku. politik ?! oisshh... tak pernah- pernah mak nak berbual tentang isu ini dengan aku. kerapnya perbualan kami berkisar hal keluarga, saudara- mara, kesihatan, hal- hal keperluan rumah, dan pasal cerita drama di tv. lagipun aku ni pendiam. tak banyak cakap sangat.

mak utarakan kegusarannya tentang kemelut politik yang berlaku sejak akhir- akhir ini. terbaru tentang politik wang. ini bukan isu baru. dalam perjalanan balik aku terfikir tentang istilah politik bersih. hmmm... terukkan apabila terpaksa mengandaikan semua politik itu bersih

Saturday, March 07, 2009

perginya ZUBIR ALI


sukar untuk aku terbitkan rasa gembira meraikan kemenangan rakan kerana dalam masa yang sama di kotak minda memikir dan mengenangkan seseorang yang telah pergi - the odd man out telah tiada.

petang kelmarin aku kerja yang sepatutnya berakhir pukul 2 pagi. tetapi aku sambung terus kerja sehingga 8 pagi. sampai rumah, tidur. 6 jam kemudian aku bangun. tinjau telefon bimbit. aduss...terima beberapa panggilan dan mesej penting. waktu kerja kalau berada di studio aku akan matikan atau silent mode handphone. selalunya aku akan lupa untuk hidupkan balik. aku terima beberapa mesej yang sama isinya daripada beberapa rakan. zubir ali meninggal dunia. aku lambat terima berita yang mengejutkan ini kerana tertidur.

zubir ali dikenali sebagai komposer dan penyanyi lagu- lagu puisi meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam di hospital pakar damansara selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

aku mula kenal karya- karya allahyarham sejak zaman sekolah. lagu penantian yang didendangkan oleh allahyarham sewaktu menganggotai kumpulan harmoni menjadi masterpiece. allahyarham juga diingati dengan lagu doa (puisi chairil anwar) dan balada seorang gadis kecil. siapa menduga aku akan bertemu dan mengenali allahyarham ketika aku belajar di pusat kebudayaan, universiti malaya. ketika itu allahyarham menjawat jawatan sebagai timbalan pengarah kebudayaan, pembangunan, perkhidmatan dan kegiatan di pusat itu. menjadi pelajar perintis jurusan seni persembahan dengan hanya seramai beberapa belas orang sahaja membuatkan hubungan pelajar dan pensyarah serta pegawai agak rapat. allahyarham turut menjadi penasihat kepada grup teater yang kami sertai.

oleh kerana allahyarham merupakan seorang artis, maka aku agak segan-segan untuk berbual dengannya. tetapi aku perlu kerap bertemu allahyarham untuk berbincang mengenai beberapa perkara tentang kegiatan persatuan. lebih - lebih lagi pada tahun 2000, aku adalah di antara beberapa orang pelajar yang dipilih menjadi urusetia pengurusan majlis makan malam papita. rasa bertuah sangat sebab kami (kak zini, hisham, balkis, aida, nazly, emi dan aku) dilantik menguruskan majlis makan malam yang dihadiri oleh pak lah (timbalan perdana menteri ketika itu) dari awal proses hingga akhir. pengalaman yang diperolehi agak bernilai kerana kami berpeluang belajar menguruskan acara yang besar. dari aspek perbincangan konsep, idea, anugerah, kos, penajaan, penjualan meja, promosi sehinggalah persembahan. peluang yang diberi oleh allahyarham kepada pelajar seperti kami sangat berharga.

aku memanggil allahyarham, haji. aku kenali puisi- puisi khalil gibran dan penyanyi melly goeslaw daripada allahyarham. dulu, aku gemar berada di pejabatnya. lapang dan dipenuhi buku- buku. setiap kali masuk ke biliknya aku selalu melihat-lihat buku yang berada di rak. tak berani nak membeleknya. perasan agaknya gelagat aku, suatu hari tu allahyarham tanya sama ada aku nak pinjam buku tak. dia berikan aku antologi karya khalil gibran dan satu buku tentang teater dunia yang agak tebal. buku teater itu belum ada lagi dijual di malaysia. allahyarham beli secara online. aku fotokopi buku- buku itu. tak sampai seminggu aku pulang balik. allahyarham kata cepat aku baca. aku senyum saja. takut nak pinjam lama- lama, nanti aku lupa nak pulangkan pula. allahyarham pernah perdengarkan aku lagu jika. katanya sedap lagu ni. aku pun suka. sejak tu aku memang menjadi peminat melly goeslaw.

sebenarnya banyak kenangan bersama allahyarham selama aku menuntut di um. allahyarham memang suka tersenyum. sejuk memandang wajahnya. cara allahyarham memandang betul-betul nampak macam mendalami seseorang itu. beliau seolah punya firasat dan intuisi yang kuat. sebab tu aku selalu tak nak lama bertentang mata dengannya. beliau pandai membaca seseorang. pernah membaca aku. kata-katanya selalu menjentik disulami gurauan. aku...biasalah, mengelak saja. aku cuma berhubung dengan beliau jika punya urusan sahaja.

lamanya aku tidak dengar berita tentang allahyarham sama lamanya aku tinggalkan um. walau bagaimanapun, aku pernah terserempak dengan allahyarham di tempat kerjaku 2-3 kali. hanya bertegur dan bertanya khabar. tentunya aku salam dan cium tangan allahyarham. kali terakhir, pada hujung tahun lepas. nampak sedikit berisi dan sihat. pandangan arwah tetap manis mendalamiku.

mendapat berita pemergian arwah, aku tiba- tiba jadi rindu dengan senandung puisinya, dengan puitis bicaranya yang menjentik dan renungan penuh maknanya. semoga rohnya diberkati. al-fatihah.

andai engkau jauh
abadikan zaman mesra
masa telah berlalu
tapi kenangan bersamamu
masih menyala memberi ilham

(petikan salah satu lagu puisi allahyarham zubir ali)

Wednesday, March 04, 2009

lawak raJA LAWAKss

kenapa anda ketawa?
a) sebab gelihati
b) sebab dihidang lawak bodoh (gelak sindir)
c) sebab tengok orang lain ketawa
d) sebab kesian (tengok tiada sesiapa yang ketawa)


pertama kali program raja lawak (musim pertama) diperkenalkan, aku kerap menonton (tertonton sebenarnya) persembahan mingguan dan paparan hariannya. nak tahu juga cara bagaimana belajar membuat lawak. pendekatan luahan pengalaman dari otai-otai (gelaran untuk pengajar-pengajar raja lawak pada musim itu) menarik juga. ada keseriusan di sebalik humor dan ada jenaka di sebalik ketegasan. aku dapat simpulkan, persembahan lawak memang perlu dirancang. tetapi yang paling penting sekali kespontanan dan penyampaian lawak (yang dirancang itu) secara bersahaja.

raja lawak musim kedua pula aku jarang ikuti. namun begitu aku tahu mengenai kehebatan dan konsistensi nabil, yang ditabal menjadi juara. raja lawak musim ketiga pun aku jarang dapat tonton persembahan mingguannya iaitu setiap hari jumaat. aku cuma berkesempatan menonton siaran ulangan atau melalui youtube. ada kawan masuk - itulah faktor utama yang mendorong aku ikuti raja lawak musim ketiga ini.

jumaat ini, gelanggang raja lawak musim ketiga tiba ke penghujungnya. peringkat akhir bakal menyaksikan persaingan 3 peserta iaitu kumpulan sepah, dan 2 peserta solo- amir dan jihan. kumpulan sepah (dianggotai 3 orang) sentiasa memberi persembahan menghiburkan. kelebihan mereka iaitu punya persefahaman yang kuat, chemistry dan penyampaian bersahaja. amir - kekurangannya menjadi kelebihannya. dengan keadaan fizikal yang memperlihatkan ke'cute'an gerak aksinya, mencuit hati ramai. tetapi amir punya sebutan yang kurang jelas( terikat dengan loghat) dan penyampaian tersekat-sekat. ironinya amir punyai ramai peminat yang cenderung untuk mengundi. kehadiran amir dalam persembahan final menimbulkan sedikit ketidakpuasan tetapi segala- galanya berdasarkan undian sms.

pertama kali kehadiran peserta wanita di pentas final raja lawak, jihan- cukup membanggakan. siapa sangka sejak di peringkat awal, jihan yang sering berada di kedudukan tiga terbawah akhirnya, merupakan tiga peserta terakhir yang tinggal. aku menganggap yan sebagai seorang survivor. oh ya..jihan, dikalangan kawan- kawan, kami memanggilnya yan. secara peribadi bagi aku, kehadiran jihan di gelanggang raja lawak memang bertepatan dalam konteks penyertaan meneruskan perjuangan seninya dalam arena arus perdana. jihan (yang aku kenal)- bukan slapstik orangnya. dia takkan buat lawak bengong untuk kawan- kawan ketawa. jihan selamba. gila- gila yang bersahaja. apa yang terfikir itulah yang terpancar di wajahnya.

mula dengan minggu ketiga jihan sudah mendapat rentak dan menunjukkan serlah dalam persembahan. setiap minggu jihan semakin yakin dan selesa beraksi. kelebihan jihan iaitu beliau punya tutur kata yang jelas, kefahaman serta dimantapkan lagi dengan idea dan lawak yang bukan murahan. jihan ambil isu dan idea yang dekat dengan kita walau kedengaran klise tetapi digaul dengan pendekatan humor yang segar. memang aku bias tetapi sebetulnya itulah yang aku rasa. diakui memang jihan tak punya x-factor seperti nabil (atau amir) tetapi peningkatan graf persembahannya kian ketara. maka, aku percaya kuasa tarikan jihan terhasil daripada keyakinan dirinya. aku senang dengan pendekatan yang jihan tampilkan. pendekatan komedi stand-up dan tak perlu mengenakan kostum compang- camping atau menghodohkan wajah.

siapa juara raja lawak??? aku tak tahu siapa yang akan menang dan dinobatkan sebagai raja lawak musim ketiga ini. tekaanku berdasarkan gelombang undian (terkini) mungkin kumpulan sepah. tetapi ia tidak mustahil jihan berpeluang (sejujurnya aku harap). amir..dia kena buktikan yang dia layak dan tidak menghampakan para pengundinya. jika menang, orang akan kata nasibnya memang baik. juga tidak mustahil sebab amir punya peminat yang besar. aku...tentu aku akan sokong jihan. tetapi aku tak dapat tonton final nanti. sebab aku on duty. tak dapat adjust jadual. aku yakin jihan akan berikan persembahan yang membanggakan. walau dapat nombor 1, dua atau tiga...i'm proud of you, kawan! semoga berjaya.