terkadang terpaksa sarkastik kerana hati mereka sukar dijentik

Monday, October 27, 2014

dari full house, growing pains ke fear factor

masa anak- anak dulu aku tonton sitkom full house (fuhh...rambut remos john stamos)  dan growing pains (pehh...senyum cute kirk cameron). family ties ingat- ingat lupa kisahnya. aku pernah tertanya- tanya kenapa michael j fox tak besar- besar. aku keliru anak- anak zaman itu.

sambil layan cerita berepisodik itu tercetus di fikiran, mengapa ibu bapa tak didik anak- anak guna pendekatan seperti ibu bapa dalam cerita sitkom gunakan itu. buat anak macam kawan. ada kelembutan menerangkan sesuatu perkara. juga ada ketegasan. dan paling yang tak best kena hukum tak boleh tengok tv atau tak boleh keluar rumah seminggu kalau buat kesalahan. paling kejam tak dibenarkan pergi prom night.

mereka tak guna pendekatan rotan pun. apatah lagi cubit, piat telinga atau hala api suratkhabar (yang dibakar) ke mulut kalau cakap yang bukan- bukan (termencarut ke apa?) hingga aku lari masuk bilik mandi. eh, aku kena macam tu ke? bukan aku, adik beradik aku yang lain rasanya. eh!

aku rasa bukan aku seorang sahaja yang fikir macam tu (kerajaan awal lagi sudah fikir - sejak tahun enam puluhan lagi). selepas itu beberapa tahun masa zaman aku masuk u, subjek psikologi dan kursus kaunseling secara khusus diperkenalkan dan mula menjadi pilihan. um dulu lagi sudah perkenalkan kursus ini tetapi dalam program diploma pendidikan pada tahun 70an. masa aku masuk um, pada hujung 90an, sarjana muda kaunseling dikira pioneer. sebelum itu, di sekolah awal- awal lagi sudah ada cikgu kaunseling. di jabatan personel sudah diperkenalkan jawatan kaunselor dan unit kaunseling.

transisi gen x ke gen y, corak pendidikan dan pendekatan mengajar anak- anak mula berubah. konflik peralihan berlaku. pendekatan lempang, rotan, piat memiat seakan taboo. itu keluar ayat. "mak bapak aku pun tak pernah pukul aku" 'dulu cikgu lempang, balik rumah kena lempang kali kedua dengan bapak, sekarang kalau cikgu lempang, mak bapak akan serang'.
golongan pendidik benar- benar berdepan dengan cabaran kini.

tahun 2000an, aku penggemar rancangan fear factor. pernah aku tonton satu episod yang setiap pasangan terdiri dari ahli keluarga. ada pasangan ibu dan anak lelaki. apabila menyertai task yang mereka menang, mereka sangat gembira dan mesra seperti kawan. tetapi ada satu task yang mereka perlu bawa kereta lalu bawah trak panjang, sekali tersasar dan gagal. spontannya anak lelaki itu marah dan mengeluarkan kata- kata kesat kepada emaknya hingga buatkan emaknya terkejut dan ketakutan.
dan aku juga masih terkesan... itu didikan cara full house dan growing pains kah? 

sitkom unggul

dinihari semalam sebelum katup mata sementara untuk tujuh jam, waktu melayari internet aku terbaca makalah tentang penerbitan sitkom pi mai pi mai tang tu. aku teringat semasa belajar dulu aku pernah buat tugasan tentang perkembangan sitkom di malaysia. pi mai pi mai tang tu memang juara dan unggul. sitkom paling lama disiarkan. teater yang berjaya 'ditelevisyenkan' rakaman langsung dengan gelak penonton. teater sedap tengok secara berdepan. apabila ditvkan rasa teaterikalnya hilang. tetapi pengarahnya pandai menjaga shot dan audio untuk sesuai ditvkan.

banyak perkara aku suka tentang sitkom ini. satu hal yang menarik adalah kombinasi hebat pelakon- pelakonnya. kalau dulu, malaysia ada macam anugerah emmy mesti sitkom ini menang untuk kategori outstanding cast ensemble.
nama watak paling epik - where is my golok (wan ismail golok). nama watak pun subteks. kelas pencipta wataknya.

banyak nak aku ceritakan tentang sitkom ini tetapi aku akan sedih mengenangkan assignment yang aku buat tiada salinannya. banyak info yang aku dapat tetapi hilang begitu sahaja bersama hilangnya salinan diserang virus. 


Saturday, October 18, 2014

kira kiraan

elok juga aku bersikap tidak begitu peduli tentang beberapa perkara. berlakunya situasi yang berkonsepkan ketidak adilan atas dasar dibiarkan sahaja. lumrah yang aku pasti berada di mana- mana. pada akhirnya manusia kena dan lalui hidup dengan sikap dan pembawaan sendiri. jenis mengelat, benarlah mengelat kau itu. berdisiplin, maka berdisiplinlah kita. hujungnya, orang menilai dan mencop kita. orang itu bagaimana, dia begitu, begini. dia boleh pakai, boleh harap, dia hampeh, hampas. dia hidup untuk membazir wang yang dibayar. dia hidup untuk habiskan gaji yang diterima. ada orang macam itu. sampai begitu sekali.

aku tahu aku. aku risau kalau aku sudah mula berkira- kira.  itu bukan aku dan aku tak pernah terfikir akannya pun. adakala untuk sedikit berkeras. maka, vokallah aku. tetapi aku tak memaksudkannya sebab aku tidak begitu peduli. nasib baik aku tidak membiar sekeliling mempengaruhi apa aku. kalau tidak, lama dulu aku sudah tidak bertahan.

persepsi berbahaya sebenarnya. walau kalau orang sebut nama, aku boleh beri gambaran dengan satu perkataan. begitu sekali dalam pada tidak peduli. aku menyedari sekeliling dan biarkan ia bermain dengan ketidak adilan. aku tidak boleh salahkan sistem. banyak hal yang direka sistem menghasilkan ketidak pedulian.