jarang dapat berbual santai dengan mak dan abah. semalam aku bawa mak dan abah makan tengahari (sudah masuk waktu minum petang sepatutnya) di nasi ayam gemas. borak-borak. aku beritahu, hari tu aku dapatkan tiket untuk mertua abang pergi tengok teater natrah. mak kata masa tu kalau ada kat kl, mak pun teringin nak pergi juga. tiba-tiba mak tanya, erma dan penulis buku natrah tu bergaduh ye. aku sengih. aku ceritalah tentang konflik mereka sebagaimana yang dipapar di media. apa kata erma. apa kata fatini (sebenarnya mak mesti sudah tahu juga kan melalui suratkhabar).
aku tak tahu bagaimana nak beri andaian aku tentang hal itu. aku cuma beritahu mak tentang teater natrah pertama yang aku tengok dulu. abah cerita serba sedikit masa kejadian rusuhan kes natrah dulu. (tapi masa ni konsentrasi aku terganggu seketika sebab pelayan bawa nasi ayam. drumstick pulak tu. favourite).
selepas itu, aku cerita pasal penyanyi adam ahmad ada datang ofis dua minggu lepas beri kad kahwin. mak macam terdiam kejap. bukan sebab tak kenal tapi tak sangka dia baru kahwin. aku pun fikir macam tu juga mula-mula. -selingan-
topik lain, aku cerita pasal filem hantu kak limah balik rumah tengah popular sekarang. seram- seram kelakar (aku suka mamat yang sinikal). abah mengimbas kembali. ewah. macam filem ni yang ada adegan flash back. abah pun cerite.. lah (sebut gaya orang perak). pada zaman abah dulu, filem seram yang paling popular filem pontianak. mak pun mengiakan. lakonan maria menado. aku teringat, kecil- kecil dulu filem seram selalu main di tv, pontianak gua musang dan hantu jerangkung. asyik- asyik hantu jerangkung, pontianak gua musang. mak pernah kata filem pontianak lakonan maria menado paling seram. tapi pelik kenapa tv tak pernah main. sampai besar aku tunggu, tv tak pernah main. sampai lah abah sentuh pasal filem tu balik baru aku terfikir. adakah filem itu terlalu seram lalu diharamkan. aku teringat nak google nanti. (sekarang sudah tahu kenapa).
aku tanya mak dan abah, seram sangat ke cerita tu. mak kata pada masa tu siap ada pengumuman siapa yang ada sakit jantung tak boleh tengok. dengar kata ada yang sampai pengsan le. abah beritahu sebab banyak ada adegan terkejut, terkejut. aku sengih.
abah cakap panggung full house. ramai yang datang tengok filem tu. sampai ada yang duduk dekat tangga. mak siap tengok kat panggung cathay kat kampung (tampin, negeri sembilan) guna tiket black market lagi. haha.
tambah abah lagi, waktu dulu takkan biar panggung kosong. penuh je. habis sahaja tempoh tayangan yang ditetapkan, tayang kat tempat lain pula. lagipun dulu- dulu mana ada tv kan. tonton wayang, hiburan utama. abah selalu tengok wayang dekat panggung madras. berhampiran rex tu. kalau di panggung coliseum, selalu tayang filem koboi. selain itu, ada panggung pavilion, lido, ruby, odeon, capitol, majestic. (di depan pawagam majestic ni tempat aku bertukar bas kalau nak ke sekolah dulu. huhu).
menurut abah lagi, kalau nak tonton bola piala dunia pun tengok dekat pawagam. berbulan-bulan selepas perlawanan sebenarlah.
berbalik kepada filem pontianak lakonan maria menado itu. ini infonya hasil aku google:-
filem pontianak merupakan filem seram pertama yang diterbitkan. diarahkan oleh bn rao. skrip ditulis oleh abd razak sheikh mohamed. dihasilkan pada tahun 1957. filem ini menjadi fenomena di atas sambutan di luar jangkaan. mendapat box-office peringkat asia lagi.
ada pelbagai versi tentang penyebab tak tersiarnya lagi filem ini. ada yang kata salinan asal filem ini telah dimusnahkan oleh penerbitnya kerana terlalu banyak filem ditayangkan pada tahun 50-an. versi lain pula, penerbitnya musnahkan salinannya sebab filem ini dilarang ditayang di pahang kerana pada waktu itu, maria telah berkahwin dengan sultan pahang. ada info mengatakan salinan asal filem ini dibuang di sungai gombak. ada kata di lombong. terdapat juga yang mengatakan filem ini pernah ditayang di luar negara, secara tak langsung membuktikan salinannya masih wujud.
ahh..entahlah, yang pastinya aku teringin benar hendak tonton filem ini. sayangkan. untung abah, emak.
aku rujuk di sini, juga di sini dan sini
6 comments:
suka tengok cerita seram tapi sekarang ni susah nak cari cerita yg betul2 seram. tapi hantu kak limah tu memang best.
me xnak tengok citer antoo.. ohoho
terfikir gak filem apakah paling seram di abad ini
masa kecil dulu pernah tengok cerita seram dari seberang. tengok sorang2 dan malam2. memang seram! lepas tengok tak boleh tidur. terbayang2. lupa pula apa tajuk cerita tu. cerita seram dulu2 memang menjadi walaupun tanpa teknologi canggih.
mesti best cerita dulu2 tu kan.. asli dan menarik
qasih - cerita sundel bolong ke?
gen2merah - betul.rasa seram tu pun asli. :)
Post a Comment