terkadang terpaksa sarkastik kerana hati mereka sukar dijentik

Tuesday, July 29, 2014

raya dan rasa

selagi hidup, selagi itu kita dapat lalui ramadan dan syawal. rai ria, hiba, kosong rasa. musibah melanda manakan mungkin cuba gembira.

melepasi pertengahan tahun 2014, malaysia terus berterusan dikejutkan dengan tragedi. bukan sahaja di malaysia, apa berlaku (sepanjang hidup rakyat palestin) di gaza begitu menggeramkan.

kita...empati tinggi. satu negara sama rasa.

aku...tak boleh cuba gembira.

oh ya, tahun ni aku kerja pada minggu raya. lari- lari sikit  'beraya'. rutin setiap tahun keluargaku pulang ke kampung. rumah arwah atuk nenek, setahun sekali meriah. aku tak dapat bayangkan sekiranya masa terus berlalu dengan generasi cucu-cicit ganti bergelar atuk nenek, rumah kampung kami ini entah punya warga atau tidak.

raya beberapa tahun lalu, rutin juga selepas tiga empat hari beraya ke rumah sanak saudara pelosok negeri sembilan dan melaka, konvoi 3, 4 kereta akan ke bandar melaka. jalan- jalan.
dalam perjalanan menelusuri kawasan rumah bapa saudaraku (suami makcik). rumah yang sudah menjadi kawasan lapang. setelah ibu bapa pakcik tiada, rumah dan tanah dijual. aku menangkap sekilas wajah pakcik ketika pakcik memandang kawasan rumah lamanya. pandangan beberapa saat itu sangat mendalam betapa memaksudkan rasa sentimental nostalgia lama menerjah. sentimental diulit sedih.

bagi aku definisi kampung adalah berada di sesuatu tempat yang penuh nostalgia bersama- sama keluarga. paling penting rasa nostalgia yang kuat kepada ibu dan bapa kita.
setiap kali balik kampung lalu kawasan ladang getah, mak akan tunjuk inilah ladang nenek. dulu nenek jalan kaki je turun naik bukit pergi menoreh. lalu di landasan kereta api, mak akan kata dulu pergi sekolah jalan ikut tepi landasan berbatu- batu.
ketika lalu tepi pondok hentian bas, terkenang dekat situlah nenek selalu tunggu temankan sesiapa di antara keluarga nak balik kl naik bas.   

sebelum arwah atuk meninggal dulu, atuk pernah hilang. puas keluarga mencari. rupa- rupanya atuk balik ke kampung tempat atuk membesar.

barangkali bagi orang lain, tempat mereka tak kira di mana asalkan berada bersama- sama keluarga. itu sudah cukup. iya, itu benar tetapi bagi aku, aku perlukan tempat yang membangkitkan nostalgia kepada seluruh ahli keluarga. perasaannya lain. walau berada di kl, suasana dan perasaannya tidak sama. 

sebenarnya gerakan masa merisaukan aku. meluputkan sedikit demi sedikit kenangan. apa akan jadi pada rumah ini.

lukisan rumah arwah atuk & nenek. dilukis oleh makcik





      

Thursday, July 10, 2014

tarikan ragu

tarikan itu ada tetapi sayang
adegan senyap agak lama
cukuplah yang lain menjaga hati
loratku kekal
tak seronok apa berkawan dengan penjaga hati
kau senyum ragu akan ketelusan

Friday, July 04, 2014

buku bertimPa

buku buku itu saling bertimpa untuk diselak
dipandang perkataan- perkataannya
buku buku itu hanya setakat dibelek
disusun atur bertimpa- timpa
berkurang warna kulitnya dikaburi halus habuk yang mula menebal
anak lipas mati terpenyek
mengejek aku yang sering menyalahkan masa
yang takku cari untuk melihat setiap aksara

buku- buku itu menawarkan aku
melihat kehidupan lain melangkaui rutin di depan mata
berimaginasi realiti mereka
cuba merasa rasa mereka
seakan jadi
jadinya mereka
buku- buku makin tua di luar
kekal muda dan segar di dalam tulisan
harap tulisannya tidak pudar

Thursday, July 03, 2014

mahalkan keRamahan

siapa yang tak suka orang yang ramah. boleh memecahkan buntu kesenyapan. tapi ramah berlebih, semua dicerita. yang tak patut pun dikhabarkan. eksklusif sudah tak ada. bukan eksklusif subjek cerita itu. tapi eksklusif diri. ramah jangan dimurahkan.