terkadang terpaksa sarkastik kerana hati mereka sukar dijentik

Tuesday, December 21, 2010

PangGung WAyang zaman MAk aBah dan...ponTianak

jarang dapat berbual santai dengan mak dan abah. semalam aku bawa mak dan abah makan tengahari (sudah masuk waktu minum petang sepatutnya) di nasi ayam gemas. borak-borak. aku beritahu, hari tu aku dapatkan tiket untuk mertua abang pergi tengok teater natrah. mak kata masa tu kalau ada kat kl, mak pun teringin nak pergi juga. tiba-tiba mak tanya, erma dan penulis buku natrah tu bergaduh ye. aku sengih. aku ceritalah tentang konflik mereka sebagaimana yang dipapar di media. apa kata erma. apa kata fatini (sebenarnya mak mesti sudah tahu juga kan melalui suratkhabar).

aku tak tahu bagaimana nak beri andaian aku tentang hal itu. aku cuma beritahu mak tentang teater natrah pertama yang aku tengok dulu. abah cerita serba sedikit masa kejadian rusuhan kes natrah dulu. (tapi masa ni konsentrasi aku terganggu seketika sebab pelayan bawa nasi ayam. drumstick pulak tu. favourite).

selepas itu, aku cerita pasal penyanyi adam ahmad ada datang ofis dua minggu lepas beri kad kahwin. mak macam terdiam kejap. bukan sebab tak kenal tapi tak sangka dia baru kahwin. aku pun fikir macam tu juga mula-mula. -selingan-

topik lain, aku cerita pasal filem hantu kak limah balik rumah tengah popular sekarang. seram- seram kelakar (aku suka mamat yang sinikal). abah mengimbas kembali. ewah. macam filem ni yang ada adegan flash back. abah pun cerite.. lah (sebut gaya orang perak). pada zaman abah dulu, filem seram yang paling popular filem pontianak. mak pun mengiakan. lakonan maria menado. aku teringat, kecil- kecil dulu filem seram selalu main di tv, pontianak gua musang dan hantu jerangkung. asyik- asyik hantu jerangkung, pontianak gua musang. mak pernah kata filem pontianak lakonan maria menado paling seram. tapi pelik kenapa tv tak pernah main. sampai besar aku tunggu, tv tak pernah main. sampai lah abah sentuh pasal filem tu balik baru aku terfikir. adakah filem itu terlalu seram lalu diharamkan. aku teringat nak google nanti. (sekarang sudah tahu kenapa).

aku tanya mak dan abah, seram sangat ke cerita tu. mak kata pada masa tu siap ada pengumuman siapa yang ada sakit jantung tak boleh tengok. dengar kata ada yang sampai pengsan le. abah beritahu sebab banyak ada adegan terkejut, terkejut. aku sengih.

abah cakap panggung full house. ramai yang datang tengok filem tu. sampai ada yang duduk dekat tangga. mak siap tengok kat panggung cathay kat kampung (tampin, negeri sembilan) guna tiket black market lagi. haha.

tambah abah lagi, waktu dulu takkan biar panggung kosong. penuh je. habis sahaja tempoh tayangan yang ditetapkan, tayang kat tempat lain pula. lagipun dulu- dulu mana ada tv kan. tonton wayang, hiburan utama. abah selalu tengok wayang dekat panggung madras. berhampiran rex tu. kalau di panggung coliseum, selalu tayang filem koboi. selain itu, ada panggung pavilion, lido, ruby, odeon, capitol, majestic. (di depan pawagam majestic ni tempat aku bertukar bas kalau nak ke sekolah dulu. huhu).

menurut abah lagi, kalau nak tonton bola piala dunia pun tengok dekat pawagam. berbulan-bulan selepas perlawanan sebenarlah.

berbalik kepada filem pontianak lakonan maria menado itu. ini infonya hasil aku google:-

filem pontianak merupakan filem seram pertama yang diterbitkan. diarahkan oleh bn rao. skrip ditulis oleh abd razak sheikh mohamed. dihasilkan pada tahun 1957. filem ini menjadi fenomena di atas sambutan di luar jangkaan. mendapat box-office peringkat asia lagi.
ada pelbagai versi tentang penyebab tak tersiarnya lagi filem ini. ada yang kata salinan asal filem ini telah dimusnahkan oleh penerbitnya kerana terlalu banyak filem ditayangkan pada tahun 50-an. versi lain pula, penerbitnya musnahkan salinannya sebab filem ini dilarang ditayang di pahang kerana pada waktu itu, maria telah berkahwin dengan sultan pahang. ada info mengatakan salinan asal filem ini dibuang di sungai gombak. ada kata di lombong. terdapat juga yang mengatakan filem ini pernah ditayang di luar negara, secara tak langsung membuktikan salinannya masih wujud.

ahh..entahlah, yang pastinya aku teringin benar hendak tonton filem ini. sayangkan. untung abah, emak.

aku rujuk di sini, juga di sini dan sini

Friday, December 17, 2010

mOther



seorang lelaki kencing menghadap dinding. ibunya datang menyuakan air ke mulutnya. sedang dia minum, air kencingnya mengalir cantik. kamera fokus dari angle atas sisi. adegan jijik yang cantik. hahaha

mulanya filem ini dengan visual seorang perempuan tua sedang berjalan perlahan di padang luas yang kering. jalannya slanting ke depan dengan wajah sedih, naif, sunyi. satu ekspresi tapi penuh gejolak. aku baru cuba nak beralih pandang tapi tak jadi sebab... lagu latar yang kena dengan keadaannya itu tiba- tiba makin berentak. wajah dan kendur tubuh perempuan itu menjadi berubah. lagu makin rancak dan...perempuan tua itu tiba- tiba menari. bukan macam orang tua yang menari tapi tenaganya ibarat tarian orang muda yang nampak vouge. wahh..cerita apa aku tengok ni.

itu di antara momen-momen yang buat aku terkunci untuk terus tonton filem ini. aku beli dvd filem mother arahan joon ho bong ini secara kebetulan sejak disember tahun lepas. tengok info ringkasan menarik. faktor lain, won bin merupakan star billing yang tak nampak bintang dalam filem ini. wataknya, pemuda terencat akal. aku kagum won bin sejak taegukgi. setahun selepas aku tonton filem ini, buat aku tiba- tiba untuk tulis tentangnya adalah selepas terbaca berita tentang pemeran watak ibu, kim hye-ja dianugerah pelakon terbaik oleh los angeles film critics association.

aku singkatkan. filem ini berkisar seorang ibu yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan anaknya(yang terencat akal) tidak bersalah apabila dituduh sebagai pembunuh. dalam menyiasat sendiri untuk menolak tuduhan itu, dia sendiri terpaksa membunuh seorang saksi yang nampak anaknya membunuh. ada twist, ada debar, ada misteri. maka, aku faham kenapa kim hye-ja dari sedih yang hening terus menari rancak pada paparan awal filem ini. aku tak dapat agak filem ini.

Sunday, December 05, 2010

kReaTif BErsuaP

tersedia ada fasiliti
keperluan diberi
permintaan dipenuhi
cuma serlahkan kreativiti
tetapi...itu juga yang diminta
maka, apa perlunya kamu.

aku percaya semua insan punya pemikiran kreatif dengan keunikan tersendiri. cuma ada yang malas teroka fikir. sayang.

Wednesday, December 01, 2010

arUs MEreka

mula - mula baru masuk industri, berlakon satu, dua filem. pegang watak sampingan. selepas tu, dapat watak pembantu. kemudian dapat watak utama.
atau bernasib baik (sebab wajah kacak, lawa?) mula- mula berlakon terus saja dapat peranan watak utama. kayu itu boleh dibentuk (atau diabai?).

tawaran melimpah ruah. rezeki. hidup sibuk. terkejar ke lokasi sana, lokasi sini. watak lain tetapi bawaannya sama. asyik-asyik muka dia. balik-balik wajah dia. di panggung. dalam majalah. dalam surat khabar sisipan hiburan hujung minggu.

senarai filem dah banyak. dari bawah sepuluh jadi berbelas. terus ke berpuluh.
filem ada yang box-office. ada yang setakat ada. pelbagai watak sudah dipegang tapi kebanyakan stereotaip pembawaannya.

menang anugerah popular, anugerah pilihan. tetapi bukan anugerah terbaik. kalau menang pun sebab lawa. uppss kacak. eh bukan sebab saingan tidak seberapa. atau sebab juri suka.

stop...stop. nama sudah dikenali. sudah kukuh di dalam industri. duit sudah banyak. ok mulakan strategi. selektif. pilih skrip. reject tawaran yang entah apa-apa. perlu karya berseni sikit. bak kata seseorang, karya yang manis. setahun muncul satu dua filem. selepas itu 3 tahun muncul satu filem. satu filem muncul 5 tahun. akhirnya menang terbaik.

tak habis lagi. oh, tawaran makin tidak ada. nama kian dilupa. ambil sahaja tawaran. bukan tawaran entah apa- apa. pembantu. sampingan. dan..dan...seterusnya...



aku tidak merujuk kepada sesiapa. ini bukan kisah benar. ia fiksyen dari aku.
aku kagum eman manan. dan mereka yang sepertinya. sebab mereka bukan seperti fiksyen aku ini.

Saturday, November 27, 2010

terkEnang ADegan...satu

aku anak- anak lagi. tonton di tv. abah record di perakam video vhs. apabila iklan je, tugas aku tekan pause. sambung cerita tekan pause balik. seringkali aku lupa. terlepaslah beberapa adegan. buat- buat selamba supaya abah tak perasan. tapi aku budak lagi. mana pandai sorok selamba kan.

filem yang sedang bermain di tv tu pelik sikit. genre seram dan sepatutnya seram menguasai tapi aku tak ingat sangat moment seramnya. aku ingat seram yang lain barangkali (haha).

adegan - ada orang nampak. itu...ahmad mahmud menutup tingkap di bilik anak perempuannya. lepas tu, yang aku ingat suasana hujan. malam. seorang lelaki muda, itu...hilal azman terjumpa seorang perempuan muda itu...rashidah jaafar. dan aku tak faham apa jadi selepas itu. sudah besar sikit baru aku faham. dan aku rasa filem itu sebenarnya agak bijak. penyampaian adegan berbaur erotik itu.

kemudian aku cuba ingati plot filem itu. dendam dari pusara bukan sekadar membawa elemen seram tuntutan orang mati apabila ada bahagian cebisan tubuh diambil. tetapi di sebaliknya, memaparkan orang sekeliling masih punya sangkaan buruk terhadap sejarah lampau seseorang itu. paparan adegan yang memberi syak dan prasangka dalam filem ini bagiku agak cantik. aku rasa aku mahu cari dan tonton semula filem ini. bukan untuk tonton erotic scene tu tau.
fikiran, tolong kilas balik.

Monday, November 22, 2010

piLih Hilang?

alter ego : i am your chromakey.

kalau begitu aku kena jadi biru atau hijau supaya kau tak memenuhi ruang diriku.

alter ego : but you will disappear, dear.

Saturday, November 20, 2010

dari aKU untuK MEreka

siapa dia nyanyian zainab majid... dering

rentak tandak nyanyian julia... dering mesej

di balik cermin mimpi oleh m.nasir... dering pemanggil

oldies kan aku.

Friday, November 19, 2010

bORak KAki 5...satu

bang...

yan... apa filem terbaru sekarang

hari ni kan dua alam.(aku gelak)

kau tengok ke

hissyy..tak la

ni..harry porter baru

ala..saya frust le tengok harry porter yang lepas tu. tengok anu dalam botol le bang

dah main ke

belum lagi. coming soon

tak nak le (geleng campur sengih campur macam malu)


aku jarang- jarang jumpa brader ni. kalau jumpa mesti kat tepi- tepi jalan. terserempak. tegur. borak kejap. dan sambung jalan.

bulan lalu pun waktu bertembung berhenti borak kejap. macam biasa pertanyaan sinonim brader tu. apa filem baru sekarang?
soalan tu bukannya nak tanya filem yang tengah main sekarang tapi lebih kepada filem apa yang aku suka tengok kat wayang.
selepas tu, isi borak menjurus kepada filem adaptasi novel.

novel abang sesuai kalau bikin filem. apa novel terbaru abang sekarang?

ada. nak keluar dah november ni. rayyan fantasi.

wahh..rayyan fantasi. cerita tu pasal apa bang?

pasal bla bla bla...

tapi aku rasa brader tu mesti tahu aku takkan baca karya terbarunya itu sebab dulu aku pernah beritahu tak pernah baca novel-novelnya kerana aku sudah tak boleh baca fiksyen. rugikan aku.
melepaskan karya-karya hebatnya.

Tuesday, November 16, 2010

berikaN

Tuhan,
berikan
rahmat
kepada
mereka
yang
ikhlas
lakukan
pengorbanan
demi
kesejahteraan.

Friday, November 12, 2010

kEsiLApan terBaik 2 ?

ia terang-terang bukan salah aku. tetapi semua sedia maklum ia terang- terang tanggung jawab aku.
peranan aku dilihatnya seakan mudah.
fullaa...setakat petik jari beb! hanya bermain dengan masa. dengan kepungan masa itulah apa sahaja boleh berlaku.

tegang. tertekan. kesilapan. lucu. tenang (boring pulak). gaduh (hendak flying kick pulak, tapi aku selalu mahu baling kasut).
teguran laser (bukan aku kot). usikan sarkastik (memang jelas satu-satunya aku).
kekadang beraksi persis konduktor orkestra. adakala ayunan persis konduktor itu disulami penyakit parkinson. getar menggegar!

aku pemandu kereta formula one yang sangat laju tiba- tiba tayar tercabut dan apa yang patut dilakukan. kereta berputar, terbalik dengan tangan bersilang memegang stereng. mulut ternganga. itukah penyudahnya?

dalam kepungan masa itu juga mulut perlu bermain dengan betul, mata meliar besar yang jangan sekali terlepas pandang. telinga harus sedap dan pantas mendengar. perlu faham prioriti yang perlu didulukan. mana boleh dibuangkan.

konklusinya peranan aku seharusnya seorang perfectionist. tapi pemerannya adalah manusia yang tentunya tidak sesekali sempurna.

uhhh
owh...tapi ia masih terang- terang bukan silap aku. mereka juga sedia tahu ia terang- terang bukan silap aku tapi aku terang-terang wajib faham ia tanggung jawab aku. makanya, ia adalah salah aku.
ia satu isu besar. sangat- sangat besar. satu negara tahu.
peliknya aku diberi puji.
aku sangat takut salah itu dipuji tapi yang faham sedia maklum di antara peranan agung kami adalah menjadi penyelamat. tiada siapa peduli. tiada siapa maklum. hanyalah yang memahami peranan itu.
terima kasih (dengan getar parkinson kerana ia masih salah dan aku masih tunggu akibatnya).

Tuesday, November 09, 2010

baRu RAsa

berpuluh- puluh tahun hidup baru pertama kali aku makan buah keranji. buah keranji dalam perahu tu. malu aku pada buah keranji tu. kalaulah tak kerana popularnya pantun melayu tu, tak tahu pun kot nama buah tu. terima kasih kepada kawan ofis yang bawakan sebagai ole-ole dari gua musang. lawa buah tu. ala- ala anggur. nampak sama kelas dengan strawberi.

sedang berlegar- legar di ofis. salah satu monitor yang berderet-deret di ofis sedang siar rancangan muzik- muzik. aik..dah separuh akhir. tak tahu kisah pun. kawan ofis kuatkan volume dan mute kan monitor lain yang memapar pelbagai channel.
di antara perbualan kami ada yang menyentuh tentang betapa tidak mesra telinganya lagu- lagu yang dipertandingkan. banyak penyanyi baru je. budak-budak mentor, af, indie. of course nanti ada faizal tahir. kita orang borak- borak pada zaman kemuncak juara lagu dulu pada ketika itu lagu-lagu yang dipertandingkan begitu fight.
uahh..dengar rock kapak le, kata salah seorang rakan ofis. lalu, buka youtube. pasang kuat - kuat. layan lagu ekamatra. generasi y ni.

Sunday, November 07, 2010

mEsti Sekarang

leka layan lagu retro, sisa sisa cinta jatt. aduhh..aku masuk kerja 3 jam lagi. belum tidur lagi ni. adusss...aku akan kerja sampai malam. mesti tidur sekarang. tapi segalanya tak boleh dipaksa bukan. sebaliknya akan melawan.

Saturday, October 30, 2010

mEnyimpan KEcewa

ada kata
itu lebih baik
tapi seiringan
pedih berpanjangan
luahkan
ada kata
itu lagi lebih baik
tapi pastikah
tiada gusar di jiwa

Sunday, October 24, 2010

ffm Yang kUrang

sepanjang minggu aku bertugas di pwtc. ahad boleh rehat tonton festival filem. tapi lihat senarai calon- calon, aku rasa kurang gempak. tak ada filem yang kick. yang ada cuma estet dan belukar. aku terfikir tentang penghasilan filem -filem berkualiti sepanjang tahun lalu. aku cuma teringat muallaf.

keputusan ffm ke 23 yang aku suka iaitu anugerah pelakon lelaki terbaik sahaja. di antara perasaan para pemenang pernahkah terdetik di hati mereka bahawa mereka menang kerana calon lain tak seberapa. atau pedulilah dah menang, janji nama tercatat dalam sejarah.

walau bagaimanapun, itulah rezeki namanya. cuma aku rindukan filem- filem yang tidak akan aku lupakan kemudian nanti. bukan salah aku hanya menonton filem- filem melayu di tv sahaja.

Friday, October 15, 2010

bAJet 2011 dan BOnusNYa

setiap tahun, pertama kali yang mahu diketahui ramai semasa sesi pembentangan bajet tentulah tentang pemberian bonus kepada penjawat awam. tipu kalau menafikan.

tapi bajet kali ini kerajaan tidak memberikan bonus cuma bantuan khas kewangan. macam tahun lepas gak. rm 500. bekerja di bahagian media akan dapat teks ucapan pm awal. maka, aku sms lah beritahu rakan- rakan yang kerja gomen. di antara reaksi balas mereka buat aku ketawa gila.

ces, kilikut tul lh. thanks ye kak. eh ada fb x?

x pe a duit gak tu (mulut) hah 500 je (dlm ati)

alhamdulillah. boleh beli spender

dapat pulak pm ada sebut pasal seluar dalam lepas tu. adeh. geli hati.

Tuesday, October 12, 2010

taK Percaya TArikh

bayangkan kau sedang memandu dengan berhemah tiba- tiba ada kenderaan besar menghempap kereta yang sedang dipandu dengan mengejut. semua kejadian yang tidak diduga hanya tuhan maha mengetahui.

kemalangan ngeri berlaku berhampiran simpang laluan ku untuk pulang ke kampung jika menggunakan highway.
siang tadi aku tonton visual master yang dirakam.
rambut apa tuh..(ulang lagi)..rambut apa banyak tuh.
aduss... kulit kepala! visual close up. ya, tuhan. terkejut betul aku tengok rakaman tu. itu baru satu.
dulu, setiap kali ada kejadian ngeri, kemalangan dan sebagainya, aku akan tonton visual master. terbaru lepas kejadian kemalangan rentung. perasaannya...takut, sedih dan insaf.

aku tak percaya pada tarikh-tarikh istimewa.

Wednesday, October 06, 2010

gelaran DAtuk

hari tu terjumpa m.nasir di rumah kakak iparnya. aku terfikir...bilalah m.nasir akan dapat gelaran datuk. ac pun dah dapat tau. sebenarnya atas dasar apa ya dapat anugerah datuk tu? yang sebenar-benarnya atas dasar apa. suspek bunuh sosilawati pun 'datuk' yang entah negeri mana yang kurnia.

Saturday, October 02, 2010

tengok SAntau...ceriTa

balik dari keluar makan. tonton tv. beralih- alih channel. terbuka astro ria. cantik visual telemovie ni. ada aaron aziz. aku kelambatan beberapa minit. kawan aku kata dah tengok dulu cerita ni. biasalah astro ulang. best katanya. cerita ni asyik dalam teksi je. cerita kat aku sikit-sikit. so, dah tak ada surprise. stail indie ni, balasku.

tengok cerita yang serius ini, tiga kali aku ketawa spontan. ketawa mengejut. cerita ini tak lawak. serius. tapi aku gelak sebab ada dialog kelakar dalam serius. dialog yang tak disangka. agak black pun ada.
adegan - masa aaron aziz baru sampai nak jumpa bomoh, seorang budak perempuan sambil gelak-gelak boleh kata, "pakcik ni sakit macam nak mati. cepat jumpa ayah saya".

adegan - aaron tanya bomoh tu macam mana boleh tahu namanya sedangkan dia tak pernah beritahu. dengan wajah serius bomoh tu jawab lebih kurang begini, "pakcik ni bomoh. mestilah tahu. kau tak bayar hutang ptptn pun pakcik boleh tahu".

adegan flash back - aaron dipaksa secara beradab untuk kahwin dengan kekasihnya (yang hamil). tetapi aaron masih tidak bersedia. bapa kekasihnya kata apa yang tak bersedia lagi. kau kan dah sunat. hahaha masa ni aku gelak.

boleh tahan telefilem ini. tengoklah siapa pengkaryanya.
tahniah santau keramat.

Saturday, September 25, 2010

kenapA maSih JAga

aku perlu bangun pagi tapi sekali menguap pun tiada.
gelap, malam merimaskan. tapi aku tak ingin perlukan cahaya.
akan tidurkah aku?

Saturday, September 18, 2010

KejaHatan yang sengaJa tak difahaMI?

awak masih marahkan saya ke?

isterinya diam

awak masih marahkan saya ke?

walau awak cuba bunuh saya sekalipun, kemarahan saya tidak seteruk kemarahan yang ini.

jawapan terakhir tu bukan jawapan dalam skrip tapi jawapan dalam hati aku. gila suami dah 'jual' bini dia dan tanya pula awak masih marahkan saya. tapi adegan itu diakhiri dengan berkesan. si isteri jadi sangat marah bilamana si suami mengugut mahu bunuh anaknya.
aku tonton cerekarama air mata nur salina ini waktu dah nak habis. sayang betul. mesti best. dan mesti lagi best kalau remy ishak dapat up sikit lakonannya agar sama level dengan umi.

Thursday, September 16, 2010

mAinan LUka

lamanya hidup mereka
lebih kurang sama lamanya aku
mereka lalui haluan berbeza
aku alami laluan lain hala
tapi bertembung di celah keikhlasan yang satu
diiringi prinsip hidup atau apa yang kau pegang
kita tetap tidak sama
juga
masih
tidak
sama
tapi yang nyata terjumpa dalam satu permainan
permainan patutnya bertunjangkan keikhlasan
dicemari dengan integriti rendah tahapnya
tak harus berlaku
tak harus terjadi
motif yang tidak berkaitan
telah mencabar amanah
dalam rasa tidak kisah
terarah untuk peduli
kerna mengganggu rasa percaya
dan
sekian
lama
seolah telah katarsis
rupanya luka
pedih dalam permainan
menghancur keikhlasan yang satu
aku sedih
sebab ada luka yang pedih

Thursday, September 09, 2010

Tuesday, August 31, 2010

baNgga

marah-marah pun kita bangga jadi anak malaysia.
yang mereka marah-marah tu sebab mereka tak dapat jadi macam kita.

Thursday, August 26, 2010

iROninya RAMadan

ramadan
bulan
berkat.
sedihnya ia dicemari pabila syaitan - syaitan mula keluar dari dalam diri manusia. pembunuhan, pembunuhan... kekejaman!

Thursday, August 19, 2010

peNtas INgatan

tonton drama di pentas ingatan
penuh dramatik
sangat melankolik
tapi sayangnya tidak realistik

Wednesday, August 04, 2010

bisiK MEmbisik

teringat aku masa zaman sekolah dulu. sekolah rendah. kalau nak cakap apa- apa yang rahsia mesti main bisik-bisik dengan kawan. sesiapa yang ada dekat-dekat tu mesti hatinya juga berbisik...
"diorang cerita pasal aku le tu...sah memang sah pasal aku le tu".
kalau ada yang spontan (macam aku kot), akan jerit, "hah hah! cerita apa tu? cerita apa tu oii?"

masa zaman tu juga salah seorang cikgu aku (tak ingat nama, tapi aku masih ingat rupa) pernah buat game bisik-bisik pada kawan yang duduk di sebelah. perkataan yang disampaikan melalui cara berbisik ke telinga itu iaitu, swim, swan, swim. maka, berbisiklah kami semua sambil bergelak- gelak masa menyampaikan bisikan itu. tukang bisik gelak. tukang terima bisikan pun gelak. entah apa yang kelakar, aku pun tak pasti. sampai giliran, aku pun gelak juga. gelak geli. ye lah.kawan bisik kat telinga. geli lak rasa.

habisnya pusingan, orang terakhir beritahu apa yang disampaikan padanya. jadi swing, swam, swim. huh..berderailah ketawa semua sebab dah jadi lain bunyinya. ini konsep perkhabaran yang diterima menjadi tidak tepat pabila terlalu ramai orang menyampaikannya. yang sampainya manusia bukan robot.

baru- baru ni ada seorang rakan nak membisikkan sesuatu kat telinga. aku agak keberatan le tapi panjang je leher hulurkan telinga ni. dia bisikkan suatu perkara. lepas tu nak jawabkan padanya, kena la bisik jugak ye tak. lalu aku pun bisik kat telinganya. perlahan tapi jelas. yusuf taiyoob...yusuf taiyoob. "arghh...bencilah cakap dengan kak yan nih!". dushh!!! ini efek back hand yang aku kena. aku tipu je yang ini.

Monday, July 26, 2010

dan terlepas DAn...

..keluar masuk waktuku tak menentu. orang tengah tidur melalui fasa mimpi terakhir, aku sudah masuk kerja. orang baru habis waktu break, aku dah melambai-lambai nak balik rumah. orang tengah tunggu masa punch out, aku baru nak punch in. selepas tengah malam, orang lain tengah lena tidur, aku baru balik kerja. dan apabila aku sampai rumah, ada kereta lain sedap-sedap park dekat tempat parking lot aku. dan masa tu tengah hujan lebat. dan masa tu aku takde payung. dan masa tu aku rasa dalam keadaan hawa sejuk itu, hati aku tetiba memanas. report pada pak guard. tayar kereta tu kena clamp, dan ditinggalkan nota amaran. tapi...kereta aku nak park mana pulak. lewat malam dah ni. adeh.


...awal julai lalu bercuti ke kuching, tapi aku terlepas nikmati rainforest. terlepas main lumpur. pada masa sama juga, aku terlepas satu tawaran. tiada rezeki. selain itu, aku terlepas tonton beberapa movie, teater dan persembahan kesenian lain.


....yang paling penting bekerja dalam sesebuah pasukan ialah menghormati skill masing-masing dan memahami stail seseorang itu bekerja. dan aku suka mencabar seseorang itu supaya dapat teroka dengan lebih lagi. bukan tak boleh buat cuma malas. dan aku rasa agak sedih jumpa orang muda yang aku yakin berkebolehan tapi tidak punya keinginan untuk berdaya saing gara-gara terlekat pada facebook. hahahaa...bukan salah facebook lah. dan aku harap orang muda yang terleka gara-gara terlekat pada facebook ini mula sedar masa terus berlalu dan mereka terlepas beberapa ilmu dan rasa nikmat realiti.

Thursday, June 24, 2010

aku, kitoranG,maMaK, bAngsaR dan PEMINTA SEdekah

hampir tiap- tiap malam aku akan ada di restoran mamak di bangsar. tempat wajib di restoran mahbub. dulu selalu gak lepak kat syed tetapi tak tau kenapa kerap lepak mahbub pulak sekarang. western food syed boleh tahan. sesekali lepak kat pelita. pelita best tapi leceh parking sikit. memang sejak belajar di u dulu aku suka mahbub. tapi tak le kerap datang. lagi satu dulu aku suka ke restoran akhbar. sebab ada jual susu lembu segar. suka punya pasal pada bulan ramadan, pernah masa nak buka puasa pun aku dan kawan sempat singgah ke restoran ni untuk beli susu. sebu perut sebab berbuka puasa dengan susu. tapi sekarang dah tutup restoran tu.

sebenarnya aku bukannya gemar lepak kat kedai mamak ni sangat. aku tak berapa selera makan masakan mamak kecuali minum teh tarik. aku jarang pilih roti. makan nasi pun,lauk yang aku pilih simple dan sama je. kawan-kawan pun boleh agak menu stereotaip aku ni. aku akan ke kedai mamak bila waktu kerja shift malam je. tiba waktu break aku dan rakan- rakan sekerja akan kunjung ke kedai mamak di bangsar. biasalah apabila kerap datang, pekerja kat sini pun dah kenal kita orang. pengunjung lain yang sering datang pun dah boleh cam. termasuklah para peminta sedekah. aku masukkan perkataan 'para' sebab ramai benar peminta sedekah yang datang kat restoran ini. tetapi tiap malam aku perasan yang datang mesti orang yang berlainan. dalam satu-satu masa, ada lah dua tiga orang yang minta sedekah. ada sekali tu orang yang sama datang sebanyak dua kali kat kitorang. apa dah.

kita ikhlas memberi tetapi apabila terlalu kerap mereka hadir menimbulkan keraguan dan rasa yang kurang senang. juga rasa serba-salah. ada sekali tu seorang peminta sedekah berbangsa india meminta pada kawan aku (juga berbangsa india). tetapi dia agak marah- marah bila tak diberi duit. pelik betullah,minta orang derma tapi marah pula bila tak dikasi. semua pasti tahu, kegiatan ini berlaku di mana- mana dengan modus operandi utama minta sedekah di gerai- gerai makan. dalam satu malam, berapa ramai 'petugas' yang terlibat melaksanakan 'tugas' ini di seluruh kl agaknya ye. aku tak mahu menyentuh tentang pendapatan mereka. tentulah banyak kan. sampai bilalah senario ini akan berakhir. sama ada kegiatan ini dilakukan oleh orang yang betul- betul susah, atau sindiket yang bergerak secara profesional, ia seolah- olah sudah menjadi satu industri...industri gelap, senyap dan aktif. dan sesungguhnya rakyat malaysia memang pemurah dan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas sifat murni ini.

Thursday, June 17, 2010

mUsim geLAran LucuT

beberapa hari lepas sultan johor melucutkan gelaran datuk empat individu. berita hari ini(17 jun) pula memaparkan 10 individu lagi dilucutkan gelaran oleh pemangku raja kelantan. nampaknya para pemilik darjah kebesaran kena kekal jaga integriti. satu tindakan yang memberi iktibar.

beraneka hidup ini. ada gelaran ditarik. harta ditarik. dan nyawa juga nanti.

Wednesday, June 02, 2010

hentiKan lifeline israeL


bersyukur sukarelawan dan wakil media malaysia yang berada dalam kapal marvi marmara dilaporkan selamat. di youtube ada disiarkan visual oleh pihak israel yang mendakwa mereka diserang. gila dan bijak israel ni. juga sangat bodoh. memutar cerita konon cuba memberi gambaran sebenar dari pihak mereka.

harap rakyat malaysia yang ditawan selamat dibebaskan secepat mungkin dan misi talian hayat untuk gaza dapat diteruskan.

Wednesday, May 26, 2010

1LiF, 1mAlaysia ?

tingkat 13, aku masuk
dah ada orang pakistan bawa bungkusan besar

tingkat 11, 2 orang masuk. tutur siam. lembutnya bahasa.

tingkat 8, seorang masuk. omong-omong di talian. borak indonesia.

tingkat 7, 3 orang masuk. senyap. mata meliar. bangladesh daaa.

tingkat 3, 2 orang besar masuk menyempitkan ruang. bergaya rancak dengan gajet-gajetnya. warga afrika.

ground floor - semua keluar lif. aku teragak- agak jejakkan kaki. oh, aku masih di malaysia.

1Lif, 1Malaysia, 1Dunia!

Wednesday, May 19, 2010

C.bu

ikut perancangan sepatutnya aku ke sarawak bulan julai nanti, tapi terpergi awal. kena ke sibu. untuk pilihan rayalah, apalagi. aku cuma masih bengong-bengong apabila diarahkan pergi ke sana segera. baru dua hari balik dari johor kan. lagi bertambah bengong kena bawa barang yang banyak. barang penting! aku pergi seorang jer sebab petugas yang lain sudah pergi beberapa hari awal. flight kena transit di kuching dulu. tiket terus ke sibu sudah tak ada. hotel pun penuh. tapi aku macam tak risau je nak ke sana. macam dapat rasa semuanya pasti dipermudahkan Tuhan.

pertama kali menjejaki sibu. aku perasan setiap blok bangunan, setiap hujungnya mesti ada kedai kopi cina. iyelah majoriti penduduknya kaum cina. pemandangan sungai rejang sangat mempesona. aku datang sini untuk bekerja jadi, mood aku tidak rasa macam untuk bercuti. sempat le bersiar- siar dan rasa makanan famous kat sini.

16 mei - berada di dewan suarah iaitu tempat pengumuman jumlah undi, melihat gelagat penyokong- penyokong parti, mendengar sorakan dan bunyi hon bilamana dap mula cantas jumlah undi bn, menyaksikan protes pihak pembangkang dan menunggu lambatnya peti pos terakhir tiba lalu akhirnya pengumuman dibuat. terus dismantle dan masih tidak boleh balik sebab luar dewan masih penuh dengan para penyokong. walau rasa letih menunggu tetapi masih lagi mahu singgah makan, merasa sup power di taman harmoni tempat rakan setugas hilang luggage pada hari pertama tiba di sibu.

Saturday, May 08, 2010

AdA orang

ada orang...hidup tak guna fikir. orang lain tolong fikirkan.
fikirkanlah, aku tak nak guna otak ok!

ada orang...buruk lemahnya, tiada usaha untuk berubah.
terimalah seadanya. tolonglah terima saya seadanya. tak nak terima boleh blah!

ada orang...tak tahu prioriti. yang minor itu utama, yang major itu tolak tepi. hidup celaru. hey, ikut suka oranglah!

ada orang...biar diri hanyut tidak terkawal. alligator nganga di depan. takkan sama sekali elak. makanlah aku, telanlah aku. i malas nak elak. ngapp..ouwch!

Friday, April 30, 2010

Gila dI ShuTTer IslanD

dua jam selepas masa patut balik, aku baru nak balik. dalam rasa mengantuk aku ke midvalley. beli tiket. aku balik rumah. tengok tv. beberapa saat kemudian, dapat panggilan telefon. pantas lihat jam. terkejut kejap. aku bergegas mandi. keluar menuju midvalley. bengong aku. aku yang beli tiket boleh lupa. jangka masa dari waktu aku beli tiket hingga waktu tayangan adalah satu jam tiga puluh minit. sempat aku balik rumah dulu. relax sambil tonton tv. mamai le aku ni. penangan masuk kerja sebelum subuh. dua belas jam lepas itu tonton wayang. shutter island.

30 minit pertama filem ini, tertahan- tahan mataku nak terkatup. aku kena tengok betul- betul cerita ini. nasib baik aku berjaya lawan. tapi tontonku terganggu betul. dua orang perempuan sebelah aku asyik ketawa je tengok filem ini sambil rancak makan pop corn. kejap- kejap ketawa. muka orang gila ditunjuk sorang-sorang - ketawa. ada reaksi terkejut ketawa. ingat tengok cerita senario ke. masalahnya orang lain tak ketawa pun. bila patut ketawa, dia orang senyap pula. ini filem suspense thriller le. witty fan kot.

leonardo dengan scorsese ibarat macam johnny depp-tim burton, steven soderbergh-george clooney, robert zemeckis-tom hanks, robert de niro-scorsese, marlon brando-francis ford coppola, chow yun fat-john woo, gong li-zhan yi mou, shahrukh khan-karan johar, harun salim bachik-afdlin shauki dan saiful apek-razak mohaideen.

aku suka leonardo dalam filem ini daripada dia dalam titanic. yang tak bestnya tengok filem ini bilamana aku dah tahu bahagian ending dulu sebelum menonton. silap aku membaca review dulu. dari awal aku tonton filem ini dengan syak dan agak. tapi aku suka filem ini. teringat aku filem identity yang memberi kejutan tak dijangka pada pengakhirannya. lama juga aku berfikir tentang ending filem itu. beri fikiranku berselirat. shutter island aku sudah jangka. lagipun ia memberi bayangan jelas. tetapi garapan filem ini cantik.

Saturday, April 17, 2010

mulAnya DiCemari

ketika itu aku masih kecil. sekolah rendah. darjah dua ke tiga entah. tak berapa ingat. tak pasti sama ada abah yang pinjam filem ni atau pak busu yang bawa balik filem ni dari luar negara. masa tu pak busu baru habis belajar dari oversea, tinggal kat rumah aku. filem ini dimainkan menerusi pemain video vhs. vcd tak ada lagi. belum dicipta. tapi aku ingat sangat filem ini. visual yang dipaparkan teramat mengganggu hingga aku boleh ingat tepat adegan- adegan yang aku rasa aku patut belum boleh tengok lagi. iya lah, waktu dulu mana ada lagi spesifikasi 18sg, 18sx ni kan.

perempuan diusung dan dikerjakan
pembalasan
badan dicucuk perangkap kayu/ buluh
disula
tangan, kepala dibelah
otak dihidangkan
payudara dicangkuk dan..dan er..erk...
arghhhh.. aku masih budak lagi. berpinar- pinar mata
ini trauma penontonan.

masa masuk u baru aku mengerti tentang filem tersebut. patutlah aku gemar tengok filem- filem thriller sadis macam siri saw dan yang bersifat darkness. bagi aku kewujudan filem-filem sadis kini, takkan dapat tandingi kengerian filem cannibal holocaust.

Friday, April 09, 2010

IMBas Lepas

lama tak menulis di blog tak bermakna aku tidak melayari internet. kerap pada tengah malam ke pagi, walau minda letih sebab baru balik bekerja aku akan cuba gak jenguk ke dunia maya.

lama tak menonton apa- apa baik teater mahupun filem. teater terakhir yang aku tonton, seri mersing (adaptasi filem klasik seri mersing). kagum aku dengan arahan bang kudin tu. walau ada kedengaran sedikit pekik (penuturan dialog sesetengah pelakon), aura karya ini terlalu kuat memaksa aku mengabaikan sahaja apa- apa kekurangan. aku suka dialognya. muzik latar dan garapan dua zaman. muzik dan dialognya membuatkan aku terasa dekat dengan filemnya. aku juga suka tengok aksi betapa seksanya untuk adi putra menutur line keramat damak yang mengundang sorak dan tepuk penonton hingga tenggelam betul suara sang hero itu.

masa kecik - kecik dulu aku tak berapa minat nordin ahmad. gara- gara filem inilah, berulang kali aku tengok makin aku cop nordin ahmad seorang pelakon yang terlalu melankolik. sayu hibanya berlebih-lebih. lagilah tak minat aku tengok lakonan beliau dalam cucu datuk merah dan air mata duyong. tapi sebelum tu aku suka lakonan- lakonan awal nordin. contohnya dalam filem anakku sazali. aku boleh terima nordin dalam semerah padi. juga filem hang jebat. lama- kelamaan aku akui allahyarham nordin ahmad seorang hero dan pelakon unggul selepas allahyarham p. ramlee pada zaman kegemilangan mereka dulu.

filem terakhir yang aku tonton iaitu filem alice in wonderland. punya le teruja aku nak tengok filem ni sebab johnny depp. arahan tim burton pula tu. tapi kemudiaannya aku sedikit kecewa. adakala aku nampak depp membawakan watak mad hatter seakan willy wonka dalam charlie and the chocolate factory. teringat betapa terkesannya depp memainkan watak sweeney todd. tapi yelah, kena tengok jugalah corak filemnya. filem ini agak simple. kepala aku tak berselirat walau aku mengharapkannya. ramai tahu kisah asal cerita dongeng klasik ini maka, aku mengharapkan burton boleh tampilkan pelbagai elemen dan mengacau plot yang mendatar. karya fantasi bukankah menuntut kreativiti yang melampau. namun begitu, efek dan tata artistiknya memang cool dan unik.

sehari sebelum aku tonton alice in wonderland, aku layan filem green zone, lakonan hero siri bourne, matt damon. wow, terbuka luas mata aku walau sebelum tu mengantuk teramat sangat. pada malam masa nak tonton filem ni aku pilih secara rambang je sebab baucar tiket wayang yang aku ada tarikh tamatnya hari tu jugak. walau filem ini dah berakhir, aku masih mengharapkan ia tidak habis lagi.

Wednesday, March 03, 2010

baCa memOir

cuti lalu satu hari tu aku habiskan masa dengan bersiar- siar tanpa perancangan. pergi midvalley megamall. shopping complex terdekat dan memang menjadi shopping complex pilihan utamaku. semuanya ada di sini. hari tu ramai benar orang. rimas betul. aku rasa nak pergi ke the gardens. kalau ke sana, halaku tentu terus ke borders. aku dan kawan lalui china town lane. aku saja yang gelar. laluan dari mid valley ke gardens tu macam china town. the gardens tak sesak macam mid valley. hilang rimas.

masuk borders, alamatnya berjam- jam le aku lepak. boleh habis baca satu buku. aku ke ruangan non fiction. belek- belek buku daughters of shame. tengok kulit belakang, muka surat pertama, ke chapter seterusnya. baca last line. nak tahu ending. haha. inilah selalu cara aku belek buku(kalau tak dibalut dengan plastik). gambaran kasar bagi aku buku ni agak dramatik sikit. mungkin sebab ia berupa biografi. penulis menceritakan kisah seseorang dari sudut pandangnya. lepas tu aku beralih pada buku tears of a teen-age comfort woman. ini genre autobiografi. penulisnya menceritakan pengalaman sendiri dijadikan hamba seks kepada tentera jepun semasa era perang dunia kedua. hmm...tiba-tiba aku teringat buku mayada the daughter of iraq yang bertahun aku beli masih belum habis baca.

aku perasan banyak terbit naskhah berbentuk kisah benar tentang wanita berkaitan penindasan, kesengsaraan, pelarian, kahwin paksa, kenangan pahit masa lampau, trauma zaman kanak- kanak, lari dari jalani tradisi khatan yang seksa, kena penjara, kehidupan di timur tengah, di afrika dan menjadi hamba seks serta pelacur jalanan. harap penghasilan buku- buku ini adalah dari sumber yang betul. bukannya non fiction tapi sebenarnya fiction. maksud aku, isu- isu ini agak catchy. sesiapa peminat memoir atau biografi mesti gemar beli buku-buku genre ini. kerap baca karya genre ini adakalanya tercetus persoalan, adakah kisah benar ini direka atau tidak. lagipun bukan semuanya tokoh yang dikenali. sesiapa sahaja boleh jadi subjek? ah, apa susah. aku google je lah kan.

aku ubah ke rak yang jual buku motivasi, nak jadi kaya, jutawan terkenal, urus kewangan dan yang sewaktu dengannya. aku belek buku tip-tip kewangan. baca dengan laju. aku hampir nak membelinya. sekali kawan aku kata, buat apa beli, kasi penulis tu pula yang kaya. pulak...haha. aku faham maksud itu. akhirnya aku keluar borders. aku takkan pulang dengan tangan kosong kalau singgah kedai buku. walau tak dirancang sekalipun. singgah foodcourt the gardens yang eksklusif dekorasinya. sambil minum aku baca memoir shamsiah fakeh. malam tu juga aku habis baca.

Friday, February 12, 2010

kaRAkter ManiPULasi

musim terbaru siri drama lost akan main di axn tak lama lagi. aku memang ikuti siri ini. mulanya ingat ceritanya biasa- biasa aje. tipikal dengan lapisan atasnya berkisar tentang kehidupan penumpang- penumpang yang terselamat setelah kapal terbang yang mereka naiki terhempas di sebuah pulau misteri. mereka cuba untuk meneruskan hidup dan berusaha untuk dapat berkomunikasi dengan sesiapa sahaja agar dapat diselamatkan. bertentangan sangkaan awalku, lost bukan cerita biasa- biasa. ketika itu, berat minda aku nak terima tetapi sebabkan drama ini misteri... mengikat aku. lost agak berlapis dan memfokus serta memberatkan hampir setiap karakter. patut pun menang outstanding casting for a drama series.

naratif non- linear lost mengingatkan aku pada satu kisah dalam filem ju on. setiap pukul 12 tengah malam(tak salah aku. dah lupa) akan kedengaran bunyi di dinding ruang tamu apartment seorang perempuan. peliknya sebelah rumahnya tiada unit lain sebab rumahnya yang paling hujung. dia ajak kawan lelakinya untuk siasat kejadian pelik itu. rupa- rupanya di akhir kisah, bunyi itu dihasilkan oleh mereka sendiri yang mati tergantung. plot twist yang ringkas dalam ju on itu aku sifatkan menggambarkan keseluruhan teknik penceritaan yang dipaparkan dalam lost. pada masa itu, masa lepas, pada masa itu semula, kehadapan dan de javu.

berbalik kepada karakter- karakter yang terdapat dalam lost. aku tertarik dengan watak antagonisnya, ben. sifatnya yang suka memanipulasi hingga adakalanya sukar dipastikan kebenaran kata- katanya walau kadangkalanya betul. bicaranya boleh menimbulkan sangsi, wujud prasangka, khianat dan hilang kepercayaan di antara watak- watak lain. malah ia sangat mengugat kesetiaan, maruah dan prinsip diri sendiri. itu yang kerap terjadi pada peneraju utamanya, jack terhadap dirinya dan juga terhadap manusia- manusia yang wujud di sekelilingnya.

paparan antagonis di dalam cerita baik drama atau filem, sering melebihkan sikap manipulasi. lihat sahaja watak arvin sloane dalam siri alias. peranannya(dan permainannya) sangat kuat. begitu juga patty hewes dalam damages. watak- watak sebegini membantu mencantikkan jalan cerita. pencetus konflik, menimbulkan rasa geram, amarah, dan pelbagai. juga membantu mencabar dan provoke watak protagonisnya. drama- drama hindustan dan indonesia kerap menampilkan watak seperti ini. begitu juga dalam drama dan telefilem melayu. siri realiti tv seperti survivor pasti takkan menarik kalau tiada yang berperwatakan seperti ini. begitu juga dalam kehidupan realiti.

Monday, January 18, 2010

dIantara kePutusan Golden globe


senarai keputusan tidak penuh golden globe 2010

FILEM TERBAIK (DRAMA) -wahh filem blockbuster, avatar menang. membawa dimensi baru dalam penghasilan filem sains fiksyen. hmm...akan menang academy juga ke nanti.

PENGARAH TERBAIK - pengarah avatar ler, james cameron

AKTRES TERBAIK - sandra bullock menang (filem the blind side) walau bersaing dengan calon hebat.

AKTOR TERBAIK - jeff bridges (crazy heart) menang. kenapa tidak hero spiderman, tobey maguire (filem brothers). watak paranoidnya mencabar dalam brothers.

AKTOR TERBAIK (KOMEDI/MUZIKAL) - suka betul pemegang watak sherlock holmes menang. robert memang hebat.

AKTRESS TERBAIK (KOMEDI/ MUZIKAL) - meryl streep (julie & julia) merupakan 'calon tetap' golden globe. streep berhak menang. suka karakternya dalam doubt.

FILEM BAHASA ASING TERBAIK - the white ribbon (jerman). tapi kalau boleh aku nak tonton semua yang dicalon.

aktres terbaik siri komedi/muzikal tv dimenangi oleh toni collette menerusi united states of tara. beliau juga seperti streep. kerap mendapat pencalonan. makanya, collette memang pelakon hebat.

chloe sevigny (pelakon boys don't cry) menang aktress pembantu terbaik untuk drama bersiri bagi drama big love yang berkisar tentang kehidupan berkeluarga lelaki berpoligami. macam menarik saja cerita ini tapi tak disiar pula kat malaysia.

aktor terbaik (drama bersiri), michael c. hall & john lithgow (aktor pembantu terbaik) kedua- dua pelakon dexter memenanginya. watak dexter memang lain dari yang lain. hero pembunuh yang 'baik'.

Wednesday, January 13, 2010

bUkan saLAh malam


bukan
salah
malam
rona azalinya dicemari
bukan
salah
malam
gelitanya berterusan
malam diberi indah
malam senyapnya cerah
bila malam patut hilang siang masih tidak datang

Saturday, January 09, 2010

perTelingkaHan Agama??


dalam pada filem muallaf memaparkan tentang keharmonian dan menghormati agama lain, realitinya berlakunya gereja dibakar. siapa yang mencetuskan provokasi ini? harap tidak wujud pertelingkahan. harap...tenangkan jiwa- jiwa yang membara dan yang cuba melagakan.

Thursday, January 07, 2010

muaLlaf dan..


beberapa hari lepas aku tak boleh tidur. bukan sebab tertekan ke apa. tapi kerana apabila malam je batuk aku jadi teruk. ada le pernah suara hampir- hampir tak keluar. lama gak baru agak ok sikit. dah ok apalagi. masa tak sihat terperap je kat rumah. aku lepas geram tonton wayang...filem muallaf dan sherlock holmes.

menonton muallaf buat aku rasa sentimental sikit. ia bukan filem sedih memaksa hati meruntun. tapi aku teringatkan arwah yasmin ahmad. ini filem terakhirnya di pawagam sedangkan hati aku tetap meronta- ronta mahukan lagi filem- filemnya. barangkali akan ada beranggapan filem ini berat namun, bagi aku arwah menyampaikannya dengan pendekatan yang ringan. dialog yang terhasil bukan setakat tuturan yang kosong seselamba si penuturnya. hanya dua yang boleh aku sifatkan untuk filem (dan karya-karya yasmin)...segar dan menjentik.

menonton sherlock holmes adalah harus. aku kan penggemar komik detektif conan!(huha ha). nama conan tu diambil sempena nama pencipta sherlock holmes, sir arthur conan. lagipun sejak kecil aku dah 'kenal' holmes. nasib baik hero iron man (robert downey jr) menunjangi filem ini. bertambah best ada jude law. aku tertarik dengan relantionship robert dan jude dalam filem ini. terlintas watak dr house dan kawan karibnya dr wilson dalam drama siri house. perhubungan yang nampak kompleks. perlu memahami lebih dari satu lapisan untuk memahaminya. adegan imbas kembali pula aku teringat filem atonoment dan the prestige. menarik dan kreatif. filem ini tidak memberikan jangkaan mudah. aku masih mahu lagi walau filem sudah the end. salute guy ritchie!

Sunday, December 27, 2009

29, 30 Gita AkUstika



stefani menutup 2009 dengan GITA AKUSTIKA. jemput hadir rakan semua.

pada 29 & 30 dis 2009, masa 8.30 malam, tempat : rumah pena, tiket : rm 15

Pn. Hajah Fauziah Nawi,Dr. Wan Zawawi, Roslan Madun, Nik Jidan,
Syed Amran, Ana Raffali, Wani Ardy, Suluk, Nuradee, Meor Yusof, Zubira, Penglipurlara, Peejoy, Tinaju, Zaidi Isma, Figurapurapura

Thursday, December 17, 2009

geRimis di antara lAFaz


sementara menunggu, tidak semena- mena bumi dibasahi
di antara peralihan tahun, kita semua disentuhi








salam tahun baru.

Thursday, December 03, 2009

joM PersembaHkan


15 minit persembahan dalam Gita Akustika!

gita akustika merupakan salah satu usaha stefani dan persatuan penulis nasional (pena) dalam mendekatkan masyarakat kepada keindahan dan kesenian kesusasteraan bahasa melayu yang kian diabaikan.

program ini akan menghimpunkan seniman dan karyawan dari segenap lapisan masyarakat dan semua peringkat usia untuk mempersembahkan karya kesusasteraan Melayu melalui medium muzik. Program ini juga dapat memberi pendedahan seterusnya membuka ruang kepada para karyawan muda untuk lebih bergiat aktif di dalam kesusasteraan melayu melalui muzik.

gabungan perkataan gita (nyanyian/lagu) dan akustika (bunyi) adalah simbolik kepada keindahan dan kehalusan seni bahasa melayu.

program ini juga diadakan bersempena malam puisi tahun baru pena yang acara tahunan dan juga sebagai menyokong usaha dbp dalam kempen cintai bahasa melayu.

lanjut dan syarat penyertaan sila ke blog STEFANI

Thursday, November 26, 2009

daN...

kita cuba fahami pengertian korban itu.
salam aidiladha.

Thursday, November 19, 2009

2012 afTErmath

aku berjaya menonton filem 2012.

bagaimana boleh? berjayakah aku? memahami di sebalik yang tersurat atau tersorok, subteks, lapisan makna, propaganda, kepercayaan, penyongsangan, keterbalikan dan sebagainya. ada yang menganggap tak bagus tonton sebab boleh ganggu akidah, ada yang kata elok tengok, boleh terbit keinsafan.
adakah aku cuma lihat...nahh, satu lagi filem disaster kreasi roland emmeric yang terkenal dengan filem- filem the day after nya. pengkhususan roland terhadap genre fiem- filem seperti ini jelas sejak penghasilan karya pertamanya, the noah's ark principle.

menyaksikan filem ini memang mengkagumkan (biasalah, tipikal filem disaster) walau disebaliknya fikiranku agak kacau (tapi masih boleh dikawal).

sebelum itu,

kak suriani (reader glamer tu) beritahu dia dah tonton filem ni di signature gardens. aku tanya, bagaimana endingnya. kak su kata diorang buat kapal besar macam kapal selam. siapa yang naik kena bayar 1 bilion euro. huhu...aku gelak. aku sendiri pun tak tahu maksud aku gelak tu. terpapar juga pasca 2012. aftermath!

uppss...aku tonton dengan baucar percuma lagi.

Monday, November 09, 2009

diArahkan MEnYAra

beberapa hari lepas, pembaca surat khabar mesti perasan berita ini. aku tak tahu cerita di sebaliknya tetapi berita ini agak jelas. aku agak terkedu.

di antara petikannya,

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam memerintahkan seorang pensyarah universiti yang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dan suaminya memberi nafkah kepada ibu bapanya sepanjang hayat.

Friday, October 30, 2009

di ANtara CUci & papADOm

tak ada apa pun di antara cuci the musical dengan filem papadom. tiada perbandingan, cuma kekaguman. dalam pada orang bercakap- cakap tentang jin notti dan momok, nasib baik papadom baru masuk tayangan. tak le rugi tiket wayang aku (yang memang dapat percuma). hampir tiap-tiap bulan dapat dua baucar percuma tonton wayang yang ada tarikh luput. baucar yang ada, tarikh akhirnya betul- betul pada hari pertama tayangan papadom. nasib baik.

filem papadom memang hebat seperti yang diperkatakan (dan seperti yang dianugerahkan). lagipun aku wajib tonton filem-filem afdlin shauki ( dan filem allahyarham yasmin...rindunya!). kesedapan filem papadom jelas terasa kerana selepas habisnya tengok filem ni pasti kita terasa nak pergi makan papadom dan pekena nasi kandar.

cuci the musical sedang rancak beraksi menggegar pentas panggung sari. walau persembahan agak panjang(dengan intermission lebih kurang 20 minit), pengisiannya bukan setakat menuntut khalayak bergelak ketawa. yang pasti sesudah tonton teater ini kita akan bersemangat untuk menonton awie di pentas teater lagi hehe. terima kasih kawan(ex-wartawan jenayah terkenal ituuzz), ajak layan teater dengan tiket complimentary.

Saturday, October 10, 2009

aku ceritA

lepas cuti raya, masuk kerja. menghadap pelbagai cerita disaster dan isu kedua-dua negara (malaysia-indonesia). menyusul pula pilihan raya(lagi..) dan selepas itu, perhimpunan umno. kemudian, bajet 2010. penuhnya pengisian oktober. tak sanggup lagi melihat visual-visual kesan gempa. sayunya ratapan kehilangan. kesedihan mereka pasti lambat berakhir.

sedikit cerita raya. masa kat kampung hari tu, kami di rumah arwah atuk dan nenek didatangi seorang tetamu tak dijangka. kawan sekolah pak busu aku. tapi pak busu aku tiada kat rumah. jadi, mak dan makcik -makcik aku lah yang layan borak. lagipun mereka kenal juga dengan kawan pak busu aku tu. tetamu tu dah lama tak balik malaysia. bermastautin di luar negara. kahwin dengan orang putih. anak sulungnya berumur 25 tahun. maknanya, sudah lama dia di luar negara. raya tahun ini baru dia balik malaysia tapi berseorangan. maka, berkunjunglah lawat saudara- mara dan rakan.

melihat susuk, gaya dan percakapan memang aku tak sangka dengan latar belakangnya. terpegun aku (turut juga mak, makcik dan sepupu-sepupuku). mana taknya. boraknya pekat betul loghat negeri sembilan. sedikit pun tak kedengaran slang inggeris. wajah pun masih wajah asli kampung. gayanya memang gaya yang tidak dicemari.(upps..bagaimana gaya yang dicemari tu?)

hanya lebih kurang sepuluh minit saja dia singgah. tapi banyak benda yang dibualkan. aku masih ingat lagi ayatnya yang agak biso bonar - "jahat-jahat kito dulu kak, tahu takut. tak macam budak- budak sekarang. kughang ajar!" hehe..aku sengih je terus jeling kat adik- adik sepupu. diorang sengih gak. sengih terasa. walau lama di negara asing, tetamu tu masih kekal jati dirinya.

Tuesday, September 15, 2009

rAi Sesudah raMAdan

terasa lain pula ramadan akan berakhir. kali ini lain.
rutin kata-kata setiap kali syawal menjelma, bukan hanya disebut kosong.
mohon maaf untuk semua sahabat dari aku yang tentunya takkan sempurna.
kali ini aku dapat cuti lama. tahun lepas bekerja, ikut giliran maka aku cuti tahun ini. rindu nak lihat kampung. salam hari raya...

Tuesday, September 08, 2009

aku terLalu

baru sedar
tuhan mengambilnya perlahan- lahan
sudah terlambat
aku...terlalu lambat!

Tuesday, September 01, 2009

masiH ARak

mereka
si peminum arak
ketika ramadan berbuka dengan apa?
atau..
waktu berbukanya sejurus sesudah sahur
jelaslah ramai perlu 'disebat'

merdeka
oh
umat!

walau setiap kali sebelum dan selepas nombor terakhir di bulan ogos

Saturday, August 29, 2009

hoNEst diShonest

me? i'm dishonest, and a dishonest man you can always trust to be dishonest.
honestly.
it's the honest ones you want to watch out for,
because you can never predict when they're going to do something incredibly
...stupid


jack sparrow - pirates of the caribbean

Friday, August 21, 2009

huJan MAlam Ramadan

... penuh pengertian
dilimpahi keberkatan
selamat
merasai
nikmat
ramadan

Saturday, August 15, 2009

perLukan(kah) keNangan (?)

ibunya telah terlebih dulu meninggal dunia, tiba giliran bapanya pula.


saya berjanji untuk tidak menjual rumah itu
tapi tiada sebab untuk saya
menyimpannya


dr mark greene - siri tv er

Thursday, August 06, 2009

meMaTikan oRAng Sakit

bernasib baik
aku dapat mematikan orang-orang yang sakit
dengan usikan sarkastik
serkap jarang
harap...
mereka diberi
ketenteraman

Monday, July 20, 2009

teateR LORONG BLUES



*foto sesi latihan

sinopsis
pertembungan beberapa watak yang cuba melarikan diri dari kenyataan pahit kehidupan. akhirnya terkepung di lorong semasa melarikan diri dari serbuan anggota keselamatan. dalam kekalutan mereka mula menuduh sesama sendiri. mereka berkenalan dan dari pertukaran pengalaman mereka mula mengenal wajah sendiri.

LORONG yang bermula waktu tengah malam berakhir di waktu azan subuh bergema , penuh dengan tragedi kehidupan manusia yang tidak akan pernah berakhir, selagi dunia ini terus berputar.


pelakon & korus
ungku hariz faizal, raja emy shahril, raihan jamil, ard omar, mohd zaki yahya, mohd nor hafiz, adrina badri, farah ahmad, syalizawani ramlan, chie azim, sherry, wan yuzaini, mohd. hanafi.


arahan : Hajjah Fauziah Nawi
tarikh : 24 Julai 2009 hingga 7 Ogos 2009 (kecuali 31 Julai)
tempat : Stor Teater Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur
masa : 9 malam
tiket : RM 30, RM 20(pelajar)


*persembahan untuk 15 tahun ke atas

pertanyaan, sila hubungi Farah (012 6170697) / Chi (012 2429621)
www.akulahrawana.blogspot.com

Saturday, July 11, 2009

julAi digauli SENi

julai setiap tahun sememangnya meriah dengan pelbagai aktiviti kesenian. elok pula sedang berlangsung kl festival. banyak program berkaitan kesenian dan kebudayaan diadakan.

bulan ini juga berlangsung festival teater kl di taman budaya. di panggung bandaraya pula, sinonim dengan persembahan teater tradisi - mek mulung, mak yong, wayang kulit dan bangsawan. ayun tari mewarnai pentas auditorium dbkl. layan senandung di life centre dan klpac. julai bulan seni. rutin penghuni ibu kota diganggu beraneka pilihan menyamankan minda.

selepas melepasi istana budaya dengan mana setanggi, karya dato' noordin hassan menjejak pula pentas balai tun syed nasir, dewan bahasa dan pustaka dengan intan yang tercanai.

turut rutin sanggar teater fauziah nawi (stefani), jika julai tahun lalu dengan malam 7 drama 7 duri. julai kali ini, lorong blues berdepan dengan khalayak buat kali kedua. teater lorong blues pernah dipentaskan dua tahun lalu, penuh sambutan. terima kasih. dan dijemput sekali lagi hadir dengan cerita yang sama tapi pelaku, garapan dan gayanya berbeza.


sesiapa lima belas tahun ke atas, saksikanlah teater LORONG BLUES !

Thursday, June 25, 2009

menyiapKan Kepergian...the Departures


dengan pencapaian membanggakan, filem ini memenangi filem asing terbaik pada anugerah academy ke-81. turut juga merangkul anugerah utama di beberapa acara festival antarabangsa.

apalah yang menakjubkan perihalan seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan. lalu mencari kerja lain tetapi tersilap gambaran dengan tugas yang dipohon. yang menariknya, kerja yang dipohon sangkanya berkaitan dengan agensi pelancongan. melencong jauh...rupa-rupanya tugas itu berkaitan dengan pengurusan orang mati.

paparan upacara membersih dan mengindahkan mayat gaya jepun memang memberi kelainan yang unik. di samping asosiasi dengan kematian, ia memberi pengertian yang cukup besar dalam kehidupan. setiap manusia mustahil tidak mati.

tugas menyiapkan jasad yang kaku (sebelum menjadi abu) bukan setakat hanya tugas bagi diago yang sebelumnya pemain cello. ia memberi beraneka pengalaman dan pelbagai rasa yang akhirnya membawa dia kepada suatu jawapan tentang bapanya tatkala menyiapkan kepergian bapanya yang sudah lama tidak bertemu ke destinasi akhir.

Monday, June 08, 2009

menyeRap patrioTisme

masuk ofis, tengok ramai staf lelaki yang muda- muda tengah berkumpul menghadap tv. tengok bola barangkali (atau tonton konsert inul dari saluran tv indonesia... huhaha). selalunya begitulah. tetapi mengapa riak wajah mereka tampak lain sikit. serius. senyap pula tu. aku pun pergi ke arah mereka. aku ikut tersenyap. di tv tengah main bukit kepong.

Monday, May 25, 2009

tariKan teriK



dingin
sejuk
beku
melembapkan!

segeralah pancaran
rela rancak di bawah terik
berubah hawa
membara
membakar
menggelegak jiwa
neutralkan segala

Sunday, May 10, 2009

makna haRi


baru lepas sambut majlis harijadi anak buah. dua orang sekali. seorang tu lahir 3 mei, seorang lagi 7 mei. tahun yang sama. 3 + 7 = 10. maka, sambut hari ibu sekali. jamuan sederhana je. keluarga terdekat yang hadir, tapi meriah dengan telatah empat orang anak saudara tersayang. nakal, merajuk, seorang takut hembus lilin, yang lagi satu takut potong kek (tapi suka calit). pelbagai karenah tapi aku terhibur.

dah ada anak buah ni baru kerap buat jamuan makan- makan. waktu dulu ketika kecil, aku tak perasan ada sambut harijadi ke tak. mungkin masa umur setahun dua ada kot. gambar pun tak ada. cuma yang masih terakam di ingatan lagi iaitu semasa sambutan harijadi adik ketiga (yang di bawah aku). tak silap waktu itu adik masih sekolah tadika ke darjah satu entah. aku lupa. cuma aku ingat majlis tu agak meriah. masa tu adik bongsu tak lahir lagi. kira yang ketiga tu manja sikit le ketika itu.

sejak kecil, mak dan abah tak pernah tanya nak apa. maka, kami tiga beradik tak biasa meminta- minta. berbeza dengan adik bongsu (yang lahir waktu kami sudah masuk sekolah menengah). perhatian untuknya agak lebih. apa yang dia hendak mesti dapat. aku ingat lagi adik aku tu akan menghentak- hentak badannya sambil berguling- guling kalau tak dapat apa yang dikehendaki.

mak dan abah tak pernah beritahu, apatah lagi menyambutnya. aku cuma ingat tarikh harijadi adik- beradikku sahaja. lepas habis sekolah menengah baru aku tahu tarikh lahir mak dan abah. itupun semasa minta no. ic untuk isi borang permohonan sambung belajar. tarikh kahwin mak dan abah memang sampai sekarang le aku tak tahu. aku pasti begitu juga adik beradik lain pun tak tahu juga. masing- masing tak pernah bertanya. mak dan abah sendiri entah ingat ke tidak. teringin nak tanya tapi aku tak tahu bagaimana. janggal rasanya sebab aku tak terlalu terus.

apabila masing- masing sudah habis belajar dan bekerja barulah sambutan hari dibuat. mulanya bukan sambutan harijadi tetapi perayaan hari ibu. abang yang mulakan dulu. beli kek dan belanja keluarga makan- makan. simple tetapi aku rasa lain. kekok, janggal tapi bererti. selepas itu kalau ada harijadi sesiapa mak cuma akan masak special sikit.

januari lepas, buat pertama kali sempena hari lahir abah, aku berikan hadiah. itupun agak lambat. melalui adik. walau hari ini hari ibu, aku masih tak tahu apa nak beri kepada mak. tunggu beberapa hari lagi. yang pasti aku tahu berkumpulnya kami semua tanpa ucapan apa- apa, itu sudah cukup. selamat hari lahir hari.

Thursday, May 07, 2009

Anta pRota - DEXTer



*bosan watak utama dalam cerita merupakan orang yang baik*

aku baru balik kerja. selepas balik dan sebelum boleh tidur aku wajib kena menonton tv ( atau dvd). buka tv, beralih- alih channel. tv 2 tengah tunjuk aksi seorang perempuan minta anaknya tutup mata supaya tidak melihat dirinya digergaji. sekilas adegan imbas kembali yang ngeri. waduh! beberapa minit lepas tu, drama pun habis. aku masih tak dapat tangkap cerita itu lagi tetapi aku rasakan sesuatu. kena tunggu minggu seterusnya.

sejak dari hari tu, aku ikuti siri drama tv - dexter. barangkali oleh sebab aku penggemar silence of the lambs, american phsyco, dan siri- siri hannibal lecter, aku jadi suka drama ini. pelukisan cerita dipapar dari sudut pandangan watak protagonisnya ( yang juga antagonis). kesan trauma melihat ibunya dibunuh menjadikan dexter punya naluri untuk membunuh. keinginan kuatnya itu berjaya dipesongkan oleh bapa angkatnya yang mengkhususkan dexter hanya membunuh seorang pembunuh.

membunuh seorang pembunuh. tetapi dia tetap bukan orang yang baik. protagonis yang anta!

Thursday, April 30, 2009

pagi hiLAng

segar dinihari
bayu pagi menampar
cuba mengejap daya
menahan gigil
oh! pagiku lama hilang
pabila sekali datang
undang ghairah
nanti pagi
kekal jaga
hingga pagi
yang seterusnya

Wednesday, April 22, 2009

MAHSURI sekeTika



Tajuk : Teater Mahsuri
Tempat : Panggung Sari, Istana Budaya
Tarikh : 24 - 30 April 2009
Arahan : Fauziah Nawi

Pelakon :
VANIDAH IMRAN (Mahsuri)
ARJA LEE
AZMAN MD. HASAN
AZIZAH MAHZAN
CICO HARAHAP
ARD OMAR


Sinopsis :

Mahsuri gadis cantik kelahiran Langkawi, dara pinggitan Pandak Mayah dan Cik Alang. Cantik jelitanya menjadi buah mulut dan kecemburuan terutamnya kaum wanita. Mahsuri dikahwinkan dengan seorang pemuda dan pahlawan tempatan, iaitu Wan Darus, adik kepada wakil Sultan di Langkawi, Wan Yahya (atau dengan gelaran Datuk Pekerma Jaya) dan Wan Mahura.

Hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Darus keluar meninggalkan Langkawi untuk berperang dengan tentera Siam. Sepeninggalan beliau, Mahsuri tinggal bersama ibu bapanya. Deramang, seorang kembara telah singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi dan ibu bapa Mahsuri, sehingga mempelawa Deramang tinggal dirumahnya. Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, kakak iparnya. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri melakukan hubungan sulit dengan Deramang.

Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh oleh Datuk Pekerma Jaya setelah termakan hasutan isterinya. Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh. Walaupun dipujuk dan dirayu oleh ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa. Sebelum mati Mahsuri telah menyumpahi Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan. Wan Darus pulang dengan kecewa lalu membawa anaknya, Wan Hakim meninggalkan Langkawi.

TIKET
RM30, RM50, RM70, RM100

Untuk info, hubungi :

BOX OFFICE
ISTANA BUDAYA
KUALA LUMPUR
Tel : 03-4026 5558
Faks : 03-4026-5552

Waktu Operasi : 9.00 pagi – 6.00 ptg (hari bekerja)
1.00 tgh – 6.00 ptg (sabtu)

Laman Web Istana Budaya
www.istanabudaya.gov.my

Laman Web Ticket2u (Pembelian dalam talian)
www.ticket2u.biz
Tel: 03-4149 8600


* info kredit IB

Sunday, April 12, 2009

hentiKAn RANcak

sesudah rancak dengan perhimpunan umno, pilihan raya dan rombakan kabinet, cuti dibeku akhirnya cair.

aku ambil cuti agak lama sikit. aku bercuti bersama keluarga (yang dah book aku sejak dari akhir tahun lepas) dan juga sambung bercuti bersama kawan- kawan.

selepas ini aku nak lebihkan menonton... menonton dan menonton.

Wednesday, March 25, 2009

terpaksa mengandaiKan

jarang dapat berbual dengan mak. tapi apabila jumpa siang tadi mak berbual berkenaan hal politik dengan aku. politik ?! oisshh... tak pernah- pernah mak nak berbual tentang isu ini dengan aku. kerapnya perbualan kami berkisar hal keluarga, saudara- mara, kesihatan, hal- hal keperluan rumah, dan pasal cerita drama di tv. lagipun aku ni pendiam. tak banyak cakap sangat.

mak utarakan kegusarannya tentang kemelut politik yang berlaku sejak akhir- akhir ini. terbaru tentang politik wang. ini bukan isu baru. dalam perjalanan balik aku terfikir tentang istilah politik bersih. hmmm... terukkan apabila terpaksa mengandaikan semua politik itu bersih

Saturday, March 07, 2009

perginya ZUBIR ALI


sukar untuk aku terbitkan rasa gembira meraikan kemenangan rakan kerana dalam masa yang sama di kotak minda memikir dan mengenangkan seseorang yang telah pergi - the odd man out telah tiada.

petang kelmarin aku kerja yang sepatutnya berakhir pukul 2 pagi. tetapi aku sambung terus kerja sehingga 8 pagi. sampai rumah, tidur. 6 jam kemudian aku bangun. tinjau telefon bimbit. aduss...terima beberapa panggilan dan mesej penting. waktu kerja kalau berada di studio aku akan matikan atau silent mode handphone. selalunya aku akan lupa untuk hidupkan balik. aku terima beberapa mesej yang sama isinya daripada beberapa rakan. zubir ali meninggal dunia. aku lambat terima berita yang mengejutkan ini kerana tertidur.

zubir ali dikenali sebagai komposer dan penyanyi lagu- lagu puisi meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi semalam di hospital pakar damansara selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

aku mula kenal karya- karya allahyarham sejak zaman sekolah. lagu penantian yang didendangkan oleh allahyarham sewaktu menganggotai kumpulan harmoni menjadi masterpiece. allahyarham juga diingati dengan lagu doa (puisi chairil anwar) dan balada seorang gadis kecil. siapa menduga aku akan bertemu dan mengenali allahyarham ketika aku belajar di pusat kebudayaan, universiti malaya. ketika itu allahyarham menjawat jawatan sebagai timbalan pengarah kebudayaan, pembangunan, perkhidmatan dan kegiatan di pusat itu. menjadi pelajar perintis jurusan seni persembahan dengan hanya seramai beberapa belas orang sahaja membuatkan hubungan pelajar dan pensyarah serta pegawai agak rapat. allahyarham turut menjadi penasihat kepada grup teater yang kami sertai.

oleh kerana allahyarham merupakan seorang artis, maka aku agak segan-segan untuk berbual dengannya. tetapi aku perlu kerap bertemu allahyarham untuk berbincang mengenai beberapa perkara tentang kegiatan persatuan. lebih - lebih lagi pada tahun 2000, aku adalah di antara beberapa orang pelajar yang dipilih menjadi urusetia pengurusan majlis makan malam papita. rasa bertuah sangat sebab kami (kak zini, hisham, balkis, aida, nazly, emi dan aku) dilantik menguruskan majlis makan malam yang dihadiri oleh pak lah (timbalan perdana menteri ketika itu) dari awal proses hingga akhir. pengalaman yang diperolehi agak bernilai kerana kami berpeluang belajar menguruskan acara yang besar. dari aspek perbincangan konsep, idea, anugerah, kos, penajaan, penjualan meja, promosi sehinggalah persembahan. peluang yang diberi oleh allahyarham kepada pelajar seperti kami sangat berharga.

aku memanggil allahyarham, haji. aku kenali puisi- puisi khalil gibran dan penyanyi melly goeslaw daripada allahyarham. dulu, aku gemar berada di pejabatnya. lapang dan dipenuhi buku- buku. setiap kali masuk ke biliknya aku selalu melihat-lihat buku yang berada di rak. tak berani nak membeleknya. perasan agaknya gelagat aku, suatu hari tu allahyarham tanya sama ada aku nak pinjam buku tak. dia berikan aku antologi karya khalil gibran dan satu buku tentang teater dunia yang agak tebal. buku teater itu belum ada lagi dijual di malaysia. allahyarham beli secara online. aku fotokopi buku- buku itu. tak sampai seminggu aku pulang balik. allahyarham kata cepat aku baca. aku senyum saja. takut nak pinjam lama- lama, nanti aku lupa nak pulangkan pula. allahyarham pernah perdengarkan aku lagu jika. katanya sedap lagu ni. aku pun suka. sejak tu aku memang menjadi peminat melly goeslaw.

sebenarnya banyak kenangan bersama allahyarham selama aku menuntut di um. allahyarham memang suka tersenyum. sejuk memandang wajahnya. cara allahyarham memandang betul-betul nampak macam mendalami seseorang itu. beliau seolah punya firasat dan intuisi yang kuat. sebab tu aku selalu tak nak lama bertentang mata dengannya. beliau pandai membaca seseorang. pernah membaca aku. kata-katanya selalu menjentik disulami gurauan. aku...biasalah, mengelak saja. aku cuma berhubung dengan beliau jika punya urusan sahaja.

lamanya aku tidak dengar berita tentang allahyarham sama lamanya aku tinggalkan um. walau bagaimanapun, aku pernah terserempak dengan allahyarham di tempat kerjaku 2-3 kali. hanya bertegur dan bertanya khabar. tentunya aku salam dan cium tangan allahyarham. kali terakhir, pada hujung tahun lepas. nampak sedikit berisi dan sihat. pandangan arwah tetap manis mendalamiku.

mendapat berita pemergian arwah, aku tiba- tiba jadi rindu dengan senandung puisinya, dengan puitis bicaranya yang menjentik dan renungan penuh maknanya. semoga rohnya diberkati. al-fatihah.

andai engkau jauh
abadikan zaman mesra
masa telah berlalu
tapi kenangan bersamamu
masih menyala memberi ilham

(petikan salah satu lagu puisi allahyarham zubir ali)

Wednesday, March 04, 2009

lawak raJA LAWAKss

kenapa anda ketawa?
a) sebab gelihati
b) sebab dihidang lawak bodoh (gelak sindir)
c) sebab tengok orang lain ketawa
d) sebab kesian (tengok tiada sesiapa yang ketawa)


pertama kali program raja lawak (musim pertama) diperkenalkan, aku kerap menonton (tertonton sebenarnya) persembahan mingguan dan paparan hariannya. nak tahu juga cara bagaimana belajar membuat lawak. pendekatan luahan pengalaman dari otai-otai (gelaran untuk pengajar-pengajar raja lawak pada musim itu) menarik juga. ada keseriusan di sebalik humor dan ada jenaka di sebalik ketegasan. aku dapat simpulkan, persembahan lawak memang perlu dirancang. tetapi yang paling penting sekali kespontanan dan penyampaian lawak (yang dirancang itu) secara bersahaja.

raja lawak musim kedua pula aku jarang ikuti. namun begitu aku tahu mengenai kehebatan dan konsistensi nabil, yang ditabal menjadi juara. raja lawak musim ketiga pun aku jarang dapat tonton persembahan mingguannya iaitu setiap hari jumaat. aku cuma berkesempatan menonton siaran ulangan atau melalui youtube. ada kawan masuk - itulah faktor utama yang mendorong aku ikuti raja lawak musim ketiga ini.

jumaat ini, gelanggang raja lawak musim ketiga tiba ke penghujungnya. peringkat akhir bakal menyaksikan persaingan 3 peserta iaitu kumpulan sepah, dan 2 peserta solo- amir dan jihan. kumpulan sepah (dianggotai 3 orang) sentiasa memberi persembahan menghiburkan. kelebihan mereka iaitu punya persefahaman yang kuat, chemistry dan penyampaian bersahaja. amir - kekurangannya menjadi kelebihannya. dengan keadaan fizikal yang memperlihatkan ke'cute'an gerak aksinya, mencuit hati ramai. tetapi amir punya sebutan yang kurang jelas( terikat dengan loghat) dan penyampaian tersekat-sekat. ironinya amir punyai ramai peminat yang cenderung untuk mengundi. kehadiran amir dalam persembahan final menimbulkan sedikit ketidakpuasan tetapi segala- galanya berdasarkan undian sms.

pertama kali kehadiran peserta wanita di pentas final raja lawak, jihan- cukup membanggakan. siapa sangka sejak di peringkat awal, jihan yang sering berada di kedudukan tiga terbawah akhirnya, merupakan tiga peserta terakhir yang tinggal. aku menganggap yan sebagai seorang survivor. oh ya..jihan, dikalangan kawan- kawan, kami memanggilnya yan. secara peribadi bagi aku, kehadiran jihan di gelanggang raja lawak memang bertepatan dalam konteks penyertaan meneruskan perjuangan seninya dalam arena arus perdana. jihan (yang aku kenal)- bukan slapstik orangnya. dia takkan buat lawak bengong untuk kawan- kawan ketawa. jihan selamba. gila- gila yang bersahaja. apa yang terfikir itulah yang terpancar di wajahnya.

mula dengan minggu ketiga jihan sudah mendapat rentak dan menunjukkan serlah dalam persembahan. setiap minggu jihan semakin yakin dan selesa beraksi. kelebihan jihan iaitu beliau punya tutur kata yang jelas, kefahaman serta dimantapkan lagi dengan idea dan lawak yang bukan murahan. jihan ambil isu dan idea yang dekat dengan kita walau kedengaran klise tetapi digaul dengan pendekatan humor yang segar. memang aku bias tetapi sebetulnya itulah yang aku rasa. diakui memang jihan tak punya x-factor seperti nabil (atau amir) tetapi peningkatan graf persembahannya kian ketara. maka, aku percaya kuasa tarikan jihan terhasil daripada keyakinan dirinya. aku senang dengan pendekatan yang jihan tampilkan. pendekatan komedi stand-up dan tak perlu mengenakan kostum compang- camping atau menghodohkan wajah.

siapa juara raja lawak??? aku tak tahu siapa yang akan menang dan dinobatkan sebagai raja lawak musim ketiga ini. tekaanku berdasarkan gelombang undian (terkini) mungkin kumpulan sepah. tetapi ia tidak mustahil jihan berpeluang (sejujurnya aku harap). amir..dia kena buktikan yang dia layak dan tidak menghampakan para pengundinya. jika menang, orang akan kata nasibnya memang baik. juga tidak mustahil sebab amir punya peminat yang besar. aku...tentu aku akan sokong jihan. tetapi aku tak dapat tonton final nanti. sebab aku on duty. tak dapat adjust jadual. aku yakin jihan akan berikan persembahan yang membanggakan. walau dapat nombor 1, dua atau tiga...i'm proud of you, kawan! semoga berjaya.

Saturday, February 14, 2009

tandUS

terima
kasih
berikan
sayang
itu
bilamana
aku
rasa
ia
sudah
habis
langsung

Monday, January 26, 2009

laRi seKEtika

dapat cuti... best!
semangat segar menyerap
yaaa...tentu aku mahu lari
keluar dari hiruk pikuk kota
pandu, pandu, panduuu....wahhh keseronokan apakah ini
serasa ingin memandu keliling semenanjung tanpa henti
ke utara, timur, barat dan selatan
patah balik
selatan, barat, timur, utara
keghairahan ruang khayal
hampir menjadi
pasti jadi


kuat betul keinginan untuk lari. sebetulnya aku ke kuala kangsar. untuk apalagi... hadiri majlis kahwin tun. tarikh majlis yang memang kena dan tepat dengan 'kebebasan sementara'ku. masa yang ditunggu- tunggu. lagipun, sudah lama mahu ke kuala kangsar. sebelum ini pernah dua kali hirup udara nyaman di bandar diraja itu. hantar abang masuk ke sekolah mckk dan kali kedua pula, jemput abang selepas tamat belajar. aku ni historical orangnya. gemar sungguh dengan monumen dan bangunan- bangunan bersejarah. istana yang cantik, masjid ubudiah yang sangat indah, muzium(istana kuning) yang unik, jambatan, menara, sungai, stesen keretapi dan rumah- rumah kedai pattern klasik pun boleh buat aku terpegun.

tetapi yang paling best - labu sayong. haruslah aku borong banyak. terutama yang berupa miniature. keterujaan yang sukar dikawal. aku peminat barangan kraf.










(sebahagian yang dibeli)



berbalik kepada memandu. aku suka memandu jauh dari kawasan bandar. dengan menikmati pemandangan yang tidak menyesakkan, mata dihidang dengan lukisan alam yang segar. beri terapi minda dan pendam yang terlalu lama. rasa puas dapat lari walau seketika cuma























*buat adik tun: comel sangat. apapun yang bakal merentap kebahagiaan dalam perkahwinan,usaha kembali kepada asal. kasih sayang.

Sunday, January 18, 2009

menCari RENtak

mula memasuki tahun baru memang ketara aku kehilangan banyak hari, banyak masa, banyak ruang (harap tidak kehilangan seseorang). sudah 18 hari, penuh hari- hari dihabiskan di tempat kerja.

emosi pengaruhi fikir minta lari tetapi sabar di hati rayu tunggu lagi. aku masih mencari rentak. akhirnya aku putuskan harus tetapkan masa akhir. aku tahu bila sampai waktunya larian pasti bermula. sama ada cepat mendapat rentak atau hala luncurku akan beralih. arghh...sebenarnya bukan 18 hari, sudah bertahun- tahun aku pendam. mahu kuleraikan dan simpan pendam yang baru. lebih segar!

cerita lain... semalam pertama kali aku jumpa rakan blogger - tun teja. adik tun hadir bersama tunangnya, mencuri masaku yang sibuk(konon...tapi betul apa). pencurian walau seketika cuma itu menghasil riang yang teramat tetapi biasalah aku tidak terlalu tunjuk. he he. terharu sangat tun datang jumpa aku di tempat kerja sebab kalau nak jumpa di mana- mana memanglah tidak berkesempatan. sejak tun pulang dari dublin, memang jarang berhubung dengan tun di alam maya. ironinya tun ada di kl pun masih tak dapat kerap berhubung apatah lagi ketemunya.

tun beri kad kahwinnya. terima kasih adik. insya-Allah kak usaha untuk hadir walau...argh..kak akan cuba mencari ruang itu. tidak puas berbual dengan tun. memang selamba mesra. sebagaimana jiwa blognya - jujur dan mempesona. tunang tun pun cool. semoga berbahagia tun dan pasangan. kak pasti!